My Add

Wednesday 21 December 2011

PM: Jenama 1Malaysia diperbanyak





 
 

NAJIB Tun Razak merasmikan pelancaran NJOI merupakan TV satelit percuma pertama Malaysia daripada Astro di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Joseph Salang Gandum (empat kiri), Badri Masri (tiga kiri) dan Rohana Rozhan. - BERNAMA

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Disember, 2011: Produk serta perkhidmatan yang boleh dikaitkan dengan jenama 1Malaysia akan diperbanyakkan dalam masa terdekat bertujuan untuk memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia juga bagi meringan beban rakyat khususnya yang berpendapatan rendah selepas kerajaan mendapat maklum balas positif daripada pelaksanaan produk terdahulu.

"Gagasan 1Malaysia bukan setakat falsafah untuk kita melakukan proses membina negara bangsa tetapi bila rakyat didahulukan, kita akan bangunkan produk serta perkhidmatan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.

"Sehubungan itu kerajaan akan memperbanyak produk serta perkhidmatan yang boleh dikaitkan dengan 1Malaysia," katanya semasa berucap merasmikan NJOI iaitu TV satelit percuma pertama Malaysia daripada Astro, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum; Pengerusi Astro, Datuk Badri Masri dan Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan.

Sebelum ini kerajaan memperkenalkan Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan caj bayaran RM1 sebelum disusuli dengan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dengan harga yang ditawarkan lebih murah sehingga 50 peratus berbanding harga pasaran.

Kemudian diikuti pula dengan Menu Rakyat 1Malaysia dan terbaru Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi membolehkan bantuan wang tunai RM500 diberi kepada rakyat yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Menurut Perdana Menteri, apabila beliau memperkenalkan konsep 1Malaysia dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan itu adalah jelas menjurus kepada aspek kebajikan rakyat antara isu pokok yang menjadi keutamaannya.

Sehubungan itu, beliau turut mengalu-alukan sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan yang berkait dengan jenama 1Malaysia, asalkan ia membawa kebaikan. - UM

No comments:

Post a Comment