My Add

Tuesday 20 December 2011

Malaysia harap terus main peranan bangunkan Afghan

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Disember, 2011: Malaysia berharap untuk terus memainkan peranan bermakna dalam pembangunan Afghanistan, bukan hanya dekad transformasi 10 tahun akan datang, tetapi untuk tempoh masa yang lebih panjang.

Wakil Tetap Malaysia ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Sadik Kethergany berkata, 399 rakyat Afghanistan telah menerima manfaat daripada banyak program dan kursus yang dianjurkan menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) seperti dalam bidang dilomasi, pentadbiran awam, kehakiman, perbankan, kejuruteraan dan pentadbiran kastam.

"Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) juga menyediakan latihan untuk beberapa pegawai tentera Afghanistan dalam taktik dan bahasa Arab,” katanya pada perbahasan terbuka mengenai Afghanistan di Majlis Keselamatan PBB.

Teks ucapan beliau difaks kepada Bernama di sini hari ini.

"Malaysia juga memudahkan inisiatif pembinaan keupayaan bersama di bawah Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) seperti projek Pendidikan Malaysia-Australia untuk Afghanistan yang menyediakan latihan untuk pelatih bagi pensyarah dan guru Afghanistan di Kuala Lumpur,” kata beliau.

Sadik berkata, Malaysia percaya bahawa membina keupayan manusia merupakan satu perkara penting dalam pembinaan sesebuah negara.

"Pembinaan keupayaan manusia juga merupakan cara amalan paling penting untuk Afghanistan mencapai pertumbuhan dan pembangunan yang lebih besar dan lestari,” kata beliau.

Dalam hubungan ini, Malaysia akan terus menyediakan bantuan teknikal kepada Afghanistan di bawah pelbagai latihan teknikal dan program pembinaan keupayaan. 

No comments:

Post a Comment