My Add

Wednesday 7 December 2011

MAS akan mulakan penerbangan premium serantau baharu

KELANA JAYA, RABU, 07 Disember, 2011:
MALAYSIA Airlines (MAS) merancang memulakan sebuah syarikat penerbangan premium serantau yang baharu menjelang pertengahan 2012 dengan memberi tumpuan kepada penerbangan premium jarak dekat ke laluan-laluan menguntungkan seperti ASEAN dan China.

Ketua pegawai eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, MAS akan mengendalikan entiti baharu itu tanpa campur tangan daripada entiti sekutu yang lain.

"Masih ada lagi pasaran untuk penerbangan kelas perniagaan walaupun dalam keadaan industri penerbangan yang tidak menentu yang terjejas oleh saingan sengit dan kenaikan harga bahan bakar jet,” kata beliau dalam taklimat media mengenai rancangan pemulihan perniagaan MAS di sini hari ini.

Ahmad Jauhari berkata, syarikat penerbangan baharu itu akan menjadi model perniagaan baharu untuk keuntungan yang lebih mampan dan memastikan tumpuan diberikan kepada keperluan unik para pengembara premium serantau.

"Dalam jangka panjang, ia akan terbang ke semua laluan domestik dan serantau yang diberi perkhidmatan oleh MAS hari ini,” kata beliau.

Beliau berkata, MAS berhasrat untuk mewujudkan struktur pengurusan yang berasingan untuk memberi fokus kepada keperluan unik para pengembara premium serantau ini.

"Syarikat penerbangan baharu ini akan menetapkan standard baharu untuk kualiti produk dan perkhidmatan, kecekapan kos dan kecemerlangan operasi,” kata beliau. - Bernama

No comments:

Post a Comment