My Add

Saturday 3 December 2011

Muhyiddin garis 7 ramuan UMNO, BN menang pilihan raya

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Disember, 2011:
TIMBLAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan tujuh ramuan perjuangan yang perlu diamalkan setiap anggota Umno untuk memastikan kemenangan parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya rasa tidak ada ramuan ajaib untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecuali tumpuan kita dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Kita kena bekerja bersungguh-sungguh untuk memenangkan parti, maka InsyaAllah parti kita akan memperoleh kejayaan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, hari ini.

Tujuh ramuan berkenaan adalah bersatu, setia, berkhidmat, berkorban, berusaha, redha dan bertawakal, katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ramuan paling penting bagi memastikan kemenangan itu ialah bersatu, selaras dengan slogan UMNO.

Perwakilan UMNO ikrar setia kepada parti

Sementara itu Muhyiddin Yassin hari ini meniupkan semangat anggota parti dengan melafaz ikrar taat setia kepada parti sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang dikatakan terakhir sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Muhyiddin mengajak seramai 5,447 perwakilan daripada 191 bahagian yang hadir pada perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini untuk bersama-sama beliau melafazkan ikrar tersebut sebagai lambang taat setia kepada parti demi kelangsungan perjuangan memartabatkan agama, mengangkat maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.

"Marilah kita bersama-sama bangun dengan semangat kesatuan dan kesepakatan, kejujuran dan keikhlasan, keyakinan dan kesungguhan untuk meraih sokongan padu rakyat demi kemenangan parti kita, kata Timbalan Perdana Menteri.

Ikrar itu berbunyi: "Kami orang UMNO, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan iri hati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

"Kami orang UMNO berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya nanti.

"Kami orang UMNO bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah s.w.t, bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13.

"Kami orang UMNO berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihan raya nanti,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Lafaz ikrar tersebut dilakukan pada akhir ucapan penggulungan beliau pada akhir Perhimpunan Agung UMNO 2011. — Bernama

No comments:

Post a Comment