My Add

Monday 12 December 2011

Najib tinjau Iskandar Malaysia dari helikopter

NUSAJAYA. ISNIN, 12 Disember, 2011:PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan sendiri keseluruhan pembangunan sekitar Iskandar Malaysia dalam lawatan menggunakan helikopter selama 30 minit di sini,  semalam.

Lawatan melalui ke lima kawasan Iskandar Malaysia itu turut melibatkan sesi berlegar meninjau beberapa lokasi utama yang menempatkan projek pembangunan penting seperti lebuh raya pinggir pantai, Perumahan Rakyat Iskandar Malaysia, Taman Perindustrian Bio-Xcell dan EduCity.

Antara yang diberi perhatian dalam tinjauan udara yang disertai Menteri Besar, Abdul Ghani Othman itu adalah Kampung Pendas Laut dan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta kemajuan dan siapnya beberapa projek infrastruktur penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) dan RMK-10.

"Saya berpuas hati dengan keseluruhan pembangunan Iskandar Malaysia dan yakin tipping point2012 akan menyaksikan sesuatu yang menarik.

"Saya berharap lebih banyak penyertaan dari pelabur tempatan dan asing serta menyeru semua bakal pelabur berpotensi mengambil peluang ini untuk melabur di Iskandar Malaysia," katanya yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Terdahulu, Najib turut menyempurnakan perasmian Johor Premium Outlets (JPO) di Kulaijaya.

Sementara itu, Abdul Ghani yang juga Pengerusi Bersama IRDA menyuarakan keyakinan bahawa Iskandar Malaysia akan memberi impak langsung kepada ekonomi negeri melalui peluang pekerjaan dan perniagaan yang pada masa sama mewujudkan kualiti hidup lebih baik sekali gus meningkatkan rangkaian nilai. - UM

No comments:

Post a Comment