My Add

Monday 5 December 2011

Nicol wajar dijulang tokoh sukan paling berjaya negara: Najib

Najib Razak bergambar bersama ratu Skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan ibu bapanya, Ann Marie David serta Desmond David dalam satu pertemuan ringkas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, ISNIN, 05 Disember, 2011:
RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David wajar dijulang sebagai tokoh sukan paling berjaya dalam sejarah negara apabila mampu mempertahankan gelaran pemain terbaik dunia sebanyak enam kali berturut-turut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, kejayaan yang dicapai Nicol itu adalah satu pencapaian yang belum pernah dicapai oleh sesiapa dalam sejarah negara.

"Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia ingin mengucapkan setinggi -tinggi tahniah kepada Nicol," katanya selepas menerima kunjungan pemain nombor satu dunia itu di pejabat beliau di sini, hari ini.

Hadir sama, ibu bapa Nicol, Desmond David dan Anne Marie David serta Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak. 

Najib berkata, diharapkan kejayaan Nicol itu, akan menjadi pendorong serta penguat semangat kepada atlet sukan bukan saja dalam arena skuasy tetapi juga sukan lain. 

"Nicol juga patut dijadikan contoh ikutan, beliau adalah ikon sukan yang paling berjaya dalam sejarah negara kita," katanya. 

Beliau berkata, diharapkan Nicol akan terus mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang, seterusnya meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk sukan negara terutamanya skuasy. 

Sementara itu, Nicol berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini, adalah satu peluang yang amat bermakna buat diri dan kedua-dua ibu bapanya. 

"Ia adalah satu penghormatan untuk saya dan keluarga untuk mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia, terima kasih atas segala sokongan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment