My Add

Monday 12 December 2011

Nilai pelaburan kini RM77.8 bilion

 NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika tiba pada majlis perasmian Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat Iskandar Malaysia di Nusajaya, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
NUSAJAYA, ISNIN, 12 Disember, 2011:
ISKANDAR Malaysia hari ini menerima 12 pelaburan baharu bernilai RM1.73 bilion sekali gus menjadikan nilai keseluruhan pelaburan bertambah kepada RM77.8 bilion sejak wilayah pembangunan itu dibangunkan lima tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah tersebut, dianggarkan RM1.05 bilion akan disumbangkan dalam bidang ekonomi berasaskan pengetahuan bagi tempoh tujuh tahun akan datang, lapor ZULHISHAM ISAHAK

“Pelaburan yang diterima menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap kemampuan Iskandar Malaysia dalam menyediakan peluang pelaburan yang inovatif dan bernilai tinggi.

“Terbaru adalah kerjasama strategik antara Multimedia Development Corporation (MDeC) dan Frost & Sullivan dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) untuk membina Pusat Inovasi Global di Iskandar Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Kelima Iskandar Malaysia di Puteri Harbour di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Eksekutif IRDA, Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.

Najib berkata, keyakinan pelabur terhadap perkembangan dan pembangunan Iskandar Malaysia sejak dibina pada 2006 jelas terbukti melalui pelaburan dalam dan luar negara yang diterima.

Katanya, masa depan Iskandar Malaysia adalah cerah kerana ia menggabungkan kekuatan sedia ada seperti bidang pertanian, logistik dan pembuatan termasuk sektor baru seperti pelancongan serta penjagaan kesihatan.

Kerajaan Pusat katanya, sangat komited dalam memastikan Iskandar Malaysia menjadi wilayah pembangunan terkemuka di peringkat antarabangsa dan untuk itu RM6 bilion disalurkan bagi menyediakan kemudahan dan infrastrukturnya.

Mengenai projek pembangunan di Iskandar Malaysia, beliau berkata, semuanya berjalan mengikut jadual.

“Saya percaya dalam setahun dua ini, kita akan lihat lebih banyak projek akan siap sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment