My Add

Thursday 22 December 2011

Pas persoal dakwaan Gasak wujud salah tadbir AKSB

KOTA BHARU, KHAMIS, 22 Disember, 2011: Kerajaan Pas Kelantan mempersoal dakwaan Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak) bahawa wujud salah tadbir urus dalam pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menyebabkan bekalan air di negeri ini, gagal disalurkan dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abd. Rahman sebaliknya mendakwa, tidak wujud sebarang masalah dalam syarikat air milik kerajaan negeri ini kerana AKSB mempunyai Ahli Lembaga Pengarah yang memantau setiap operasinya.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah AKSB, turut mempersoalkan gesaan Gasak yang meminta syarikat tersebut menjelaskan projek air tidak terhasil (NRW) yang menelan belanja RM130 juta dan dikatakan telah siap sepenuhnya Ogos lalu.

"Tak ada masalah, dalam perjanjian itu ada. Dia tak boleh nak pakai tuduh melulu sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas dakwaan Gasak baru-baru ini bahawa wujud salah urus tadbir dalam pengurusan AKSB yang menyebabkan bekalan air gagal disalurkan dengan baik.

Presiden Gasak, Nor Azli Ahmad mendakwa, masalah itu disedari oleh kepimpinan Kerajaan Pas Kelantan selepas surat terbuka mengenai perkara itu diedarkan secara meluas pada pertengahan 2010.

Bagaimanapun, Nor Azli berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil, malah beberapa projek yang dilaksanakan sebelum ini tidak memberi impak yang besar kepada rakyat.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah menyiarkan laporan khas berkaitan kualiti air di Kelantan yang dicemari logam-logam berat berbahaya.

Kandungan logam-logam seperti arsenik, besi dan mangan serta bakteria ditemui menerusi ujian makmal Kementerian Kesihatan dari 2008 hingga 2010 dan juga uji kaji yang dijalankan sendiri pihak Utusan Malaysia di makmal bertauliah swasta baru-baru ini.

Bekalan air bersih merupakan masalah utama bagi rakyat negeri ini sejak 1990, sehingga penduduk terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membina telaga tiub, membeli alat penyedut air dan tangki tambahan.

Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini memberitahu, rakyat Kelantan terutama di kawasan luar bandar perlu menunggu sehingga 2027 untuk menikmati bekalan air bersih sepenuhnya. - UM

No comments:

Post a Comment