My Add

Wednesday 21 December 2011

KPT pandang serius insiden turun bendera: Khaled Nordin

PUTRAJAYA, RABU, 21 Disember, 2011: Kementerian Pengajian Tinggi memandang serius berhubung insiden menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa penyerahan memorandum bantahan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) oleh ahli kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS). 

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia satu perbuatan yang biadap dan tidak wajar dilakukan kepada pemimpin negara khususnya Perdana Menteri.

"Saya menerima Memorandum Himpunan Aman Sokong PM oleh Persatuan Alumni ASPIRASI pada hari ini. Memorandum tersebut antara lain mengecam perbuatan menurun bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian tidak akan berkompromi dan tidak bersetuju terhadap tindakan mana-mana individu mahupun kumpulan yang boleh mencemarkan imej Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekaligus menggugat hasrat kementerian untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. 

"Kementerian bersedia untuk menerima dan mendengar pandangan serta pendapat semua pihak termasuk mahasiswa," katanya. 

Asalkan tindakan itu katanya, tidak di luar batasan moral, tidak berpelakuan biadap, menghormati hak orang lain dan berpegang pada prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. 

Insiden Sabtu lalu itu berlaku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika SMM dan BEBAS hendak menyerahkan salinan memorandum berhubung pemansuhan AUKU kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. 

Selepas perjumpaan, mereka menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri kemudian digantikan dengan bendera SMM dan BEBAS, bagaimanapun, mereka menaikkan semula bendera itu selepas ditegur pengawal keselamatan PWTC. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment