My Add

Wednesday 21 December 2011

PAS wajar bertanggungjawab

Pemimpin parti perlu akur rasa dukacita Sultan isu solat 2 imam: Idris 

Oleh Mohammad Ishak
JERTIH: Pemimpin PAS diminta akur dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melahirkan perasaan dukacita dengan kejadian dua solat berasingan dalam satu kariah yang masih berlaku di negeri ini.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata teguran itu lahir daripada ketua agama negeri yang bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku dalam institusi masyarakat Islam di negeri ini.

Pengerusi MARA itu berkata, sebagai ketua agama, titah Sultan Mizan itu ada asasnya dan pemimpin PAS mesti bertanggungjawab dengan apa yang berlaku sehingga keadaan itu memecahbelahkan umat Islam khususnya di negeri ini, apatah lagi ia terjadi atas dasar ketidaksefahaman politik. 

Katanya, tindakan penyokong PAS itu didorong oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan ‘Amanat Haji Hadi’ pada satu ceramah di Banggol Peradong, Marang kira-kira 30 tahun lalu. 

“Amanat berkenaan sudah tidak relevan lagi kerana PAS sendiri kini sudah menjalin kerjasama dengan DAP yang majoritinya kaum Cina dan tiada bezanya UMNO bekerjasama dengan MCA yang sebelum ini mereka sendiri labelkan UMNO kafir. 

“Apa yang berlaku sekarang, banyak markas PAS dijadikan tempat solat Jumaat berasingan yang dipenuhi lambang parti, malah ada sepanduk mengutuk pemimpin UMNO digantung pada markas berkenaan,” katanya selepas majlis Kempen Membaja anjuran RISDA Besut di Kampung Bukit Bunga, Hulu Besut, di sini, semalam. 

Idris berkata, ketika beliau menjadi Menteri Besar, sudah ada tawaran kerajaan negeri kepada PAS untuk diwartakan markas dan masjid digunakan sebagai masjid kerajaan. 

Bagaimanapun, katanya, tawaran itu ditolak dan PAS semakin angkuh mengembangkan aktiviti menentang kerajaan menerusi ceramah dan khutbah dibaca pada setiap Jumaat di masjid yang tidak diiktiraf kerajaan. 

“Kita harap Abdul Hadi dan pemimpin PAS lain di Terengganu menghormati titah Sultan Terengganu dan mengarahkan semua penyokong PAS menghentikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah bagi menunjukkan kesetiaan kepada Sultan, malah lebih penting lagi memelihara kesucian dan martabat agama Islam,” katanya.- Berita Harian

No comments:

Post a Comment