My Add

Wednesday 21 December 2011

Isu dua solat Jumaat dibincang

MAIDAM adakan mesyuarat khas cari penyelesaian masalah babitkan 11 masjid 

Oleh Baharom Bakar
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membincangkan isu dan mencari penyelesaian masalah dua solat Jumaat dalam satu kariah di 11 masjid di seluruh negeri ini, terutama di daerah Besut.

Yang Dipertuanya, Datuk Mazlan Hashim, berkata pihaknya sedar masalah itu berlarutan lebih 30 tahun lalu, namun sukar menyelesaikannya apabila ada pihak tidak memberi kerjasama kerana lebih mementingkan agenda politik daripada memelihara kesucian agama Islam.

Pada mesyuarat khas itu, katanya, pandangan semua ahli majlis akan diambil kira, termasuk mencari kaedah dan tindakan sesuai bagi menyelesaikan isu yang turut mendapat teguran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, ketika bertitah merasmikan Masjid Sultan Ismail, Chendering, di sini, Jumaat lalu. 

"Kita berpendapat, isu menunaikan dua solat Jumaat dalam satu kariah boleh diselesaikan melalui tindakan secara pentadbiran dan kita akan bincang terperinci dan mencari kaedah sesuai. 

"Sebenarnya, masjid yang digunakan penyokong parti pembangkang untuk menunaikan solat Jumaat itu tidak mendapat kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT)," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi, semalam. 

Jumaat lalu, Sultan Mizan melahirkan dukacita berikutan masih ada pihak tertentu mengadakan dua solat Jumaat dalam satu kariah tanpa kebenaran di beberapa daerah di Terengganu. 

Titahnya, kejadian itu disebabkan tiada persefahaman dalam mencari penyelesaian ke atas sesuatu masalah dihadapi, sekali gus menyebabkan Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda dan umat Islam dihina serta dipermainkan. 

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dilaporkan berkata, PAS sewajarnya dipersalahkan kerana membezakan masjid kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan masjid milik pembangkang sehingga umat Islam berpecah dan mendorong kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah. 

Difahamkan, solat Jumaat dua kariah berlaku di beberapa daerah terutama di Besut, berikutan amanat disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengharamkan penyokong parti itu menunaikan solat di masjid dibina kerajaan, ketika menyampaikan ceramahnya di masjid Kampung Banggol Peradung, 7 April 1981. 

Kebanyakan masjid digunakan penyokong PAS untuk menunaikan solat Jumaat berasingan adalah bangunan markas parti itu. 

Mazlan berkata, setakat ini MAIDAM belum ada cadangan meminta Sultan Mizan sebagai ketua agama negeri campur tangan bagi menyelesaikan isu solat Jumaat berasingan. 

"Mengadap dan memberi cadangan memohon Sultan Mizan campur tangan serta mengeluarkan titah adalah langkah terakhir, kita akan berusaha menyelesaikan isu itu dengan meminta pandangan semua ahli MAIDAM pada mesyuarat khas itu nanti," katanya. 

Mengulas supaya masjid itu diberi kelulusan untuk menunaikan solat Jumaat, Mazlan berkata, siasatan menyeluruh termasuk kedudukan antara masjid dan jumlah kariah perlu dilakukan. 

"Jika kedudukan masjid dan jumlah kariah memenuhi peraturan ditetapkan, kita akan beri kelulusan bersyarat," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment