My Add

Friday 16 December 2011

Peguam Negara tunggu draf pindaan peraturan pilihan raya

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Disember, 2011:
PEGUAM Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihaknya masih menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengemukakan draf pindaan peraturan pilihan raya berhubung penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang. 

"Mereka (SPR) akan kemukana draf dulu. Kemudian, mereka akan duduk dan berbincang dengan kami mengenai pindaan peraturan-peraturan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani ratifikasi perjanjian bantuan bersama dalam perkara jenayah antara Malaysia dan United Kingdom di sini hari ini.

Pada 3 Disember lalu, SPR mengesahkan akan menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) selepas tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) menggunakan kaedah itu dipersetujui dan diluluskan oleh Parlimen.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata berikutan itu, sedikit pindaan akan dilakukan ke atas Undang-undang Peraturan (Penjalanan Pilihanaraya) 1981. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili pihak pendakwaraya dan Pejabat Peguam Negara dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Gani berkata: "Pergilah tanya dia. Kalau saya cakap, apa pula kan...Dia kawan baik saya". 

Dalam pada itu, beliau berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan akan menentukan calon yang akan dilantik menggantikan Mohd Yusof. 

"Pengerusinya bukan Abdul Gani Patail. Abdul Gani adalah seorang anggota dari pihak perundangan. Calonnya akan dipilih dan perakuan akan dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan," katanya. 
Menurut sumber, Mohd Yusof, 56, telah menyerahkan surat peletakan jawatan untuk kali ketiga dan kali ini telah diterima. 

Mohd Yusof adalah orang ketiga paling kanan di Pejabat Peguam Negara selepas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Peguamcara Datuk Idrus Harun. 

Hari terakhir beliau bertugas dijangka sama ada pada 1 Januari atau 1 Februari depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment