My Add

Friday 16 December 2011

PM umum kenaikan elaun pegawai penyelia masjid daerah

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 disember, 2011:
DATUK Seri Najib Razak hari ini mengumumkan kenaikan elauan Pegawai Penyelia Masjid Daerah (PPMD) daripada RM1,210 kepada RM1,810 dan tuntutan elaun perjalanan RM700 sebulan bermula tahun depan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sangat menekankan aspek pengimarahan masjid dan surau sepanjang masa kerana ia adalah pusat perpaduan umat serta menjadi simbol syiar Islam negara.

"Kerajaan juga bersetuju menambah 87 PPMD sedia ada ke semua daerah di seluruh negara semoga institusi masjid dan surau dapat diimarahkan dan terpelihara dengan sebaiknya," katanya ketika merasmikan Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang tadi.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Elaun perjalanan PPMD sebelum ini adalah RM500 sebulan.

Perdana Menteri berkata, berikutan sekarang hanya terdapat 87 PPMD di seluruh negara, beliau berkata kerajaan bersetuju menambah jawatan itu kepada seorang PPMD di setiap daerah di seluruh negara.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mencadangkan penubuhan Seketeriat khas Ulama dan Umara (UMUM) supaya komunikasi antara kerajaan dengan pihak berkenaan menjadi lebih terancang dan tersusun.

"Melalui seketeriat ini program seperti dialog, forum, makmal dan aktiviti dapat diurus tadbir secara bersama dengan agensi agama sedia ada," katanya.

Katanya, sekretariat itu juga akan menerajui makmal strategik Islam bagi menghasilkan penyelesaian serta perancangan terhadap isu berkaitan hal ehwal Islam.

Bagi memperkemaskan lagi sistem pentadbiran agama Islam di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan sebuah Kompleks Pusat Pentadbiran Islam Putrajaya yang akan dibina di Presint 2 dan dijangka siap dan boleh digunakan pada 2014.

"Sedar akan peranan dan hubungan istimewa antara ulama dan umarak dalam menentukan kesejahteraan rakyat serta negara, kerajaan menaruh harapan tinggi kepada golongan ini untuk berkongsi pandangan serta pendapat dalam semua aspek pemerintahan dan isu yang membabitkan kepentingan umat Islam yang sentiasa berhadapan dengan cabaran semasa," katanya.

Najib berkata nasihat ulama akan memberi faedah kepada pemerintah dan rakyat, pentadbiran di mana barisan kepimpinan negara amat memerlukan bantuan ulama serta cendiakawan dalam pelbagai bidang.

"Umarak pula memerlukan pandangan ulama untuk mendapatkan maklumat mengenai isu yang dibangkitkan serta kefahaman dari sudut fatwa serta hukum Islam. Ini hanya akan dapat dinatijahkan melalui hubungan erat ulama dan umara," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya institusi ulama dapat dimantapkan supaya disegani dan dihormati.

Perdana Menteri berkata ulama tidak boleh bersikap fanatik dan partisan dalam politik, taksub melulu atau suka menjatuhkan hukuman terhadap orang lain tanpa usul periksa.

"Bukan semua isu dalam negara ini terutama isu agama perlu dipolemik dan dipolitikkan, hatta isu mengerjakan haji juga turut dipolitikkan demi keuntungan politik sesetengah pihak," katanya merujuk kepada penyebaran dan fitnah yang dilemparkan ketika beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menunaikan ibadat haji baru-baru ini.

Pada majlis itu, Sheikh Roslan Abdul Halim Al-Hafiz dipilih menerima Anugerah Tokoh Imam Peringkat Kebangsaan 2011. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment