My Add

Wednesday 7 December 2011

Pekebun kecil terjejas akibat banjir akan dibantu

KUALA SELANGOR, SELASA, 07 Disember, 2011:
KEMENTERIAN Perusahaan, Peladangan dan Komoditi sedang mengenalpasti kawasan tanaman komoditi yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini untuk diberikan bantuan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Hamzah Zainuddin berkata bantuan itu akan dihulurkan secepat mungkin bagi memulihkan kebun mereka yang terjejas akibat bencana itu.

Pekebun kecil tembakau, terutama di pantai timur biasanya akan mengalami kerugian teruk akibat banjir, dan pada tahun lepas seramai 800 penanam tembakau mengalami kerugian, katanya kepada Bernama selepas menutup program Hello Komoditi anjuran kementerian di sini, semalam.

Menyentuh mengenai coklat buatan tangan, Hamzah berkata terdapat permintaan tinggi terhadap barangan itu dari negara-negara Timur Tengah, dan kementerian akan membantu pengusaha coklat tempatan memasarkan produk mereka di sana selaras dengan agenda kementerian untuk melihat Malaysia menjadi pengeluar coklat terbesar seperti Switzerland.

Sementara itu, ketika berucap Hamzah berkata pendapatan eksport komoditi negara dijangka mencapai sasaran sebanyak RM120 bilion tahun ini ekoran peningkatan harga komoditi dan pertambahan permintaan terhadap produk komoditi di pasaran tempatan dan luar negara sepanjang tahun ini.

"Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, pendapatan eksport komoditi dan produk komoditi meningkat 27 peratus kepada RM105 bilion berbanding RM82 bilion bagi tempoh sama tahun lepas," katanya.

Hamzah berkata kementerian mensasarkan pendapatan eksport komoditi negara dalam tanaman sawit dan getah mencapai sasaran RM230 bilion menjelang tahun 2020.

Mengulas mengenai program hari ini, Hamzah berkata ia adalah usaha kementerian untuk mendekati dan menyalurkan maklumat terkini mengenai industri peladangan dan komoditi kepada pekebun kecil dan penduduk setempat.

Program disertai semua agensi di bawah kementerian itu bertujuan memberi khidmat nasihat berkaitan penjagaan tanaman, kemudahan, insentif, skim bantuan dan galakan bagi tanaman komoditi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment