My Add

Monday 12 December 2011

Pembangunan pesat ubah landskap rakyat

NUSAJAYA, ISNIN, 12 Disember, 2011:
DATUK Seri Najib Tun Razak yakin pembangunan pesat di Iskandar Malaysia akan mengubah landskap dan corak kehidupan rakyat di kawasan koridor ekonomi tersebut dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan pemerhatian dan tinjauan beliau dari udara hari ini, pembangunan dan pembinaan pesat beberapa projek seperti perumahan rakyat, Johor Premium Outlet (JPO), Taman Tema Legoland, EduCity, Medini, Pine Wood Studio dan beberapa lagi menunjukkan kemajuan yang membanggakan.

"Dan dengan ada beberapa projek ini termasuk projek perumahan rakyat ini, saya yakin dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang landskap di Iskandar Malaysia akan berubah begitu pesat sekali," katanya semasa melancarkan Projek Perumahan Rakyat Iskandar Malaysia dekat Lima Kedai, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, projek perumahan tersebut mampu mengubah untung nasib rakyat seterusnya menghasilkan kualiti hidup yang lebih baik kepada mereka.

"Kerajaan akan sentiasa mencari kaedah terbaik dan memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah sendiri yang dapat dibina dalam tempoh yang pendek serta dengan peruntukan kecil.

"Saya pesan rumah (dibina) mesti mampu milik dan didiami, mesti ada kualiti dan dengan itu rakyat akan terbela dan rakyat akan kita dahulukan," katanya.

Najib berjanji bahawa amanah yang diberikan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan digalas sebaik mungkin dan seterusnya membawa kemajuan dan transformasi kepada negara. - UM

No comments:

Post a Comment