My Add

Monday 12 December 2011

PM yakin JPO tarik ramai pelabur

 NAJIB Tun Razak menandatangani plak sambil diperhatikan Lim Kok Thay (kiri) pada majlis perasmian Johor Premium Outlets, Kulaijaya, semalam. – utusan/RAJA JAAFAR ALI
KULAIJAYA, ISNIN, 12 Disember, 2011:
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat yakin dengan pembukaan Johor Premium Outlet (JPO) yang pertama di Asia Tenggara dan Malaysia bakal menarik lebih ramai pelabur asing dan domestik untuk melabur di negara ini.

Malah beliau turut kagum dengan komitmen berterusan dari Kumpulan Genting melalui anak syarikatnya, Genting Simon untuk membangunkan fasa kedua JPO dengan pelaburan lebih RM1 bilion pada masa depan walaupun fasa pertama baru memulakan operasinya, lapor WAN NAJIB WAN DAUD

Najib berkata, Kumpulan Genting menyatakan hasrat untuk meneruskan pembangunan di Kulaijaya dengan rancangan tambahan 60 premium outlet beserta sebuah hotel dengan kapasiti 2,000 buah bilik, taman tema air dan pusat pameran dan konvensyen antarabangsa.

“Saya amat berbangga dengan pembukaan JPO ini yang merupakan satu projek yang bermakna dan bersejarah di dalam Iskandar Malaysia,”

“Kita harus berbangga kerana Malaysia menjadi pilihan lokasi pertama premium outlet di Asia Tenggara serta Kumpulan Genting melalui Genting Simon yang berterusan membangunkan sebuah mercu tanda baru di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian JPO di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay; Timbalan Pengerusi Kumpulan Genting, Tun Hanif Omar dan Presiden Premium Outlets, John Klein.

JPO merupakan cawangan ke-70 di dunia dan merupakan pusat membeli-belah yang menghimpunkan pelbagai jenama terkenal dengan tawaran potongan harga dari 25 peratus sehingga 65 peratus.

Sebanyak 70 kedai barangan berjenama tempatan dan antarabangsa seperti Coach, Burberry, Zegna, Gap, Guess, Lacoste, Adidas, Nike, Levis, Selangor Pewter Tommy Hilfiger dan lain-lain.

Menurut Perdana Menteri, tiga juta pengunjung bakal mengunjungi JPO pada tahun pertama operasinya.

Malah beliau turut yakin dengan adanya JPO ini, ia akan memainkan peranan utama di dalam menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa seperti dari Timur Tengah dan Eropah serta negara-negara jiran serantau.

Najib amat yakin dengan pengunjung Eropah terutamanya akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah utama dengan mengambil kesempatan terhadap nilau tukaran mata wang asing.

“Sebagaimana yang diumumkan pada Bajet 2012, saya berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai syurga membeli-belah di Asia dengan menyedia pelbagai barangan berjenama pada harga kompetitif dan saya percaya JPO akan banyak membantu bagi mencapai impian ini,” katanya. - UM

No comments:

Post a Comment