My Add

Saturday 3 December 2011

Pemimpin perlu contohi kepimpinan Tun Razak

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Disember, 2011:
PEMIMPIN negara disaran mencontohi sifat kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang sentiasa mengutamakan kepentingan negara lebih daripada diri sendiri.

Wakil Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata Tun Razak yang juga bapa Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib ketika zaman pentadbirannya sanggup menahan sakit daripada pengetahuan orang ramai, termasuk keluarga terdekat demi negara.

Beliau berkata, ramai menyangka Tun Razak yang sentiasa tampil di khalayak ramai dengan tongkat dan jaketnya sebagai sebahagian daripada gayanya, tetapi sebenarnya beliau menyembunyikan sakitnya, sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir.

"Saya dapat khabar, isteri dia tak tahu, anak-anak dia pun tak tahu yang tahu hanya doktornya, mulia sungguh hatinya, dia tahu kalau dia beritahu Toh Puan Rahah (Mohd. Noah), dia takkan boleh keluar,” katanya semasa membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Selain itu, Zainal Abidin berkata, Tun Razak juga menunjukkan sifat jujur yang amat tinggi apabila menyerahkan kembali kuasa mentadbir negara di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan ketika rusuhan kaum berlaku pada 13 Mei 1969 dan perlembagaan negara digantung.

"Selepas darurat dapat diselesaikan, diserahkannya semula negara ini kepada Parlimen, padahal dia sudah boleh memegang (jawatan) Presiden pada waktu itu, mulianya hati beliau,” katanya.

Kini, beliau berkata tiba masa anaknya, Najib dan para pimpinan lain untuk sekali lagi memainkan peranan penting melakukan transformasi kerajaan dan membawa UMNO untuk pentadbiran negara ke era baharu.

Katanya, rakyat tidak boleh menafikan bahawa pelbagai usaha transformasi telah dilakukan di dalam UMNO, termasuk transformasi ekonomi, politik dan pengurusan dan sehubungan itu mencadangkan agar transformasi dalam bidang agama turut dilakkan.

"Lakukan gerakan, transformasikan pendekatan kerana kita rasa kalau ekonomi dah ditransformasikan, politik sudah ditransformasikan, saya fikir pendekatan agama juga kena ditransformasikan,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment