My Add

Monday 19 December 2011

Pemuda UMNO kecam siswa demonstrasi bantah AUKU

KUALA LUMPUR, ISNIN. 19 Disember, 2011: Pergerakan Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan melampau peserta demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang menggantikan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan bendera perhimpunan mereka, semalam.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin yang membidas tindakan tidak bertanggungjawab itu berkata, kumpulan pelaku itu tidak matang, malah mencabul etika dan adab ketika mengunjungi mana-mana tempat sekalipun.

"Bagi Pemuda UMNO, kami konsisten memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa dengan seruan agar pindaan dilakukan ke atas AUKU bagi memberi peluang dan pengiktirafan kepada mahasiswa untuk melibatkan diri dalam politik.

"Namun, dalam kita merai serta menyemarakkan semangat keterbukaan dan penyertaan ini, jangan pula ada yang mencemar mahupun memperlekehkan dengan perlakuan yang tidak mencerminkan tindakan dan pertimbangan matang.

"Bahkan, perlakuan sedemikian tidak sepatutnya ditonjolkan oleh golongan mahasiswa yang mahukan peranan dan suara mereka sebagai cendekiawan diiktiraf dan diwakili dalam masyarakat," katanya pada satu satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan liar peserta demonstrasi anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang menurunkan bendera Najib di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semasa menyerahkan memorandum bantahan berhubung AUKU kepada UMNO.

"Janganlah kita begitu mudah terjebak dengan ledakan emosi mahupun terpaut dengan aksi yang tidak mencerminkan ketajaman pemikiran dan idealisme orang muda dalam kalangan mahasiswa.

"Sehubungan itu, Pemuda UMNO menggesa agar siasatan dilakukan ke atas kejadian tersebut dan pada masa sama mendesak penganjur, SMM dan Bebas memohon maaf kepada Perdana Menteri dan UMNO keseluruhannya," katanya.

Kekecewaan yang sama diluahkan oleh Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah.

Beliau kesal dengan sikap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang didakwanya berdiam diri apabila bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digantikan dengan bendera Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas).

"Aspirasi membantah sekeras-kerasnya tindakan mahasiswa kerana tindakan tersebut dapat mencetuskan huru-hara.

"Alasan yang diberi Saifuddin kononnya beliau kebetulan mendapat jemputan itu dalam masa yang singkat dan tidak perasan insiden menurunkan bendera itu, adalah tidak berasas sama sekali," katanya.

Mohd. Shahar berkata, pihaknya bersama para mahasiswa dan alumni universiti akan mengadakan perhimpunan aman di depan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya pada Rabu ini, pukul 2.30 petang untuk menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri. - UM

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafiiberkata, ternyata golongan ini telah digunakan untuk kepentingan politik pembangkang termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang turut menyertai mereka.

"Justeru, saya menyarankan Saifuddin juga bertanggungjawab di atas kejadian ini. Beliau yang sedang berucap semasa kejadian menurunkan bendera ini terjadi perlu memanggil semua yang terlibat untuk permohonan maaf secara terbuka sekiranya tidak, eloklah berundur," ujarnya.

Tambahnya, ternyata usaha untuk memberikan kebebasan kepada mahasiswa gagal kerana golongan ini mudah dipengaruhi dengan emosi dan akhirnya digunakan oleh pembangkang yang membakar perasaan mereka meskipun pada tempat tidak sesuai.

No comments:

Post a Comment