My Add

Monday 19 December 2011

Pas double standard isu Madrasah Salihiah

ALOR SETAR, ISNIN, 19 Disember, 2011: Kerajaan Pas Kedah bersikap double standard dan tidak logik apabila membiarkan Madrasah Salihiah Kanchut yang berstatus tanah wakaf khas dirobohkan bagi membina sebuah kompleks beli-belah.

Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, tindakan Pas Kedah itu juga dilihat membelakangkan syiar Islam yang pernah diperjuangkan ahli-ahlinya sebelum ini.

Katanya, beliau yang berada dalam pakatan parti pembangkang dulu pernah turut serta mengisytiharkan jihad ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor ketika mahu menaik taraf sebuah surau kecil di Selangor bagi pembinaan sebuah masjid.

"Saya adalah antara orang yang berada di barisan hadapan mengisytiharkan jihad bersama ahli Pas lain yang sanggup berbaring menghalang sebuah surau kecil dirobohkan. Jadi timbul kehairanan di sini apabila sebuah madrasah berstatus wakaf khas berusia lebih 100 tahun ingin dirobohkan oleh orang Pas sendiri apabila sudah memerintah negeri.

"Kita bukan tidak mahu pembangunan tetapi sesuatu pembangunan itu harus ada rahmat Allah dan apabila pembangunan didirikan di atas keruntuhan sebuah wakaf masjid pasti ada yang tidak kena," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan satu perjumpaan bersama ahli jawatankuasa madrasah tersebut di Jalan Tambang Badak di sini malam semalam.

Mengulas lebih lanjut kata Zulkifli, beliau terkejut kerana pada pengetahuannya wakaf khas itu tidak boleh dijual beli kerana ia menjadi syiar dan amal jariah yang perlu dijaga oleh pihak yang memegang amanah wakaf tersebut ketika ini.

"Apabila sudah menjadi jariah, ia perlu berlaku di tapak sama dan tidak boleh bercampur aduk perkara yang mendatangkan kemungkaran.

"Sekiranya madrasah ini dibina di bawah kompleks, ia berkemungkinan bercampur dengan aktiviti berunsurkan maksiat kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di pusat beli-belah seperti itu," katanya.

Menyentuh tentang pertemuan tersebut katanya, Jawatankuasa Madrasah Salihiah Kanchut dicadangkan supaya melantik panel syarie bagi membincangkan perkara itu dengan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Katanya, pelantikan panel itu bagi melicinkan perbincangan tersebut menerusi panel yang arif dalam hal berkaitan tanah wakaf dan perundangan.

"Perbincangan dengan MAIK adalah langkah pertama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu perobohan tersebut," katanya.

Tambahnya, beliau turut mengesyorkan agar perkara itu dibawa kepada ketua agama Islam Kedah iaitu Sultan Kedah dengan mengemukakan dokumen berkaitan.

"Langkah terakhir adalah melantik peguam untuk mengambil tindakan mahkamah bagi mencabar keputusan pengambilan tanah wakaf khas ini selain memohon deklarasi terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh jawatankuasa fatwa negeri.

''Apa pun perbincangan dengan MAIK adalah langkah pertama yang perlu dilakukan, dengan jawatankuasa madrasah perlu melantik panel syarie bagi memudahkan perbincangan sebelum jalan terakhir mengambil tindakan mahkamah," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment