My Add

Wednesday 21 December 2011

Penantian lebih 10 tahun berakhir

TAJUL Urus Md. Zain (dua dari kiri) menyampaikan sijil kelahiran kepada Nur Afifah Abdul Rahman (empat dari kiri) dan adik-adiknya, Nur Asma (tiga dari kanan) serta Nur Aini (dua dari kanan) di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Oleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI, RABU, 21 Disember, 2011: Tiada perkara yang paling menggembirakan bagi tiga beradik termasuk pasangan kembar apabila penantian selama lebih 10 tahun untuk mendapatkan surat beranak berakhir hari ini.

Tiga beradik berkenaan Nur Afifah Abdul Rahman, 15; Nur Aini dan Nur Asma yang merupakan pasangan kembar berusia 12 tahun menerima sijil terbabit daripada Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain di sini.

Tajul Urus berkata, ketiga-tiga gadis dari Taman Ria itu menghadapi masalah tiada sijil kelahiran selepas ibu dan bapa mereka bercerai sejak kecil.

Beliau berkata, kesemua mereka juga tidak pernah memasuki persekolahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di samping menghadapi masalah kewangan selepas keluarga berpecah-belah.

“Nur Afifah dan adik-adiknya ditinggalkan begitu sahaja oleh ibu bapanya sehinggalah diambil Persatuan Kebajikan Kediaman Abu Nur untuk tinggal di rumah anak yatim,” katanya kepada pemberita di sini.

Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok memberitahu, sepanjang tinggal di rumah anak yatim milik pertubuhan berkenaan di Pengkalan Hulu, Perak, kesemua gadis itu diberikan pendidikan khas sehingga mereka boleh membaca dan menulis.

“Namun begitu, mereka tetap menghadapi masalah dan tidak dapat keluar ke mana-mana kerana tidak ada sijil lahir,” katanya.

Bagaimanapun, kes berkenaan dibawa kepada pengetahuan pihaknya oleh MIC Bahagian Merbok dan nama mereka kemudian didaftarkan menerusi program dokumentasi MyDaftar dengan JPN pada April lalu.

“Akhirnya permohonan mereka diluluskan dan kini JPN sudah mengeluarkan surat beranak sebagai bukti kewarganegaraan,” katanya.

Sementara itu, Nur Aini berkata, dia dan adik-adik amat bersyukur kerana akhirnya memperoleh sijil kelahiran.

“Lepas ini kami boleh belajar dan bekerja kerana sudah ada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Kediaman Abu Nur, Zawiah Lazim pula berkata, pihaknya bercadang menghantar anak- anak yatim tersebut mengikuti latihan kemahiran pada masa akan datang.

“Dengan adanya taraf kewarganegaraan, sekurang-kurangnya mereka boleh berdikari dan mencari pekerjaan yang sesuai apabila keluar dari rumah anak yatim nanti,” jelasnya. - UM

No comments:

Post a Comment