![]() |
| MOHD. Isa Abdul Samad dan Shamsul Anwar Sulaiman (kiri) beramah mesra dengan pelajar terbaik, Mohd. Arif Adha Che Rasid (dua dari kiri) dan Mohamad Anizam Ali (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sijil Sesi 2/2011 Institut Teknologi Utama Felda di Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Disember, 2011: Cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) ke Bursa Malaysia tidak sepatutnya ditentang kerana langkah itu akan membawa banyak manfaat kepada peneroka.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad berkata, golongan peneroka tidak sepatutnya terpengaruh dengan hasutan pihak yang ingin menggagalkan usaha itu kerana kerajaan telah memberi jaminan semua manfaat yang diterima peneroka sebelum ini akan terus dikekalkan.
"Saya masih tidak nampak sebab yang meyakinkan untuk tolak dan tak suka pada penyenaraian itu. Kalau kita nak layan mesti ada sebab, ini tak ada apa-apa.
"Ini baik untuk peneroka, baik untuk Felda dan negara, kecualilah kalau ada sebab-sebab individu," katanya pada sidang akhbar selepas Penyampaian Sijil Institut Teknologi Utama Felda kepada 344 pelajar di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Institut Teknologi Utama, Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.
Beliau berkata, usaha penyenaraian yang diputuskan oleh kerajaan itu sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
"Felda telah melaksanakan lebih 70-80 peratus usaha penyenaraian itu melalui bank-bank yang dilantik untuk tujuan tersebut.
"Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dari semasa ke semasa," jelasnya.
Beliau turut yakin, peneroka di seluruh negara sudah mula memahami kelebihan dan manfaat daripada penyenaraian itu.
"Saya sudah pergi kesemua 11 wilayah peneroka untuk memberikan penerangan.
"Mereka sudah mula faham tetapi usaha penerangan akan diteruskan kerana mungkin ada keraguan ekoran penerangan yang kurang jelas pada peringkat awal dulu," katanya.
Mengulas usaha Gabungan Peneroka Generasi Wawasan Felda Kebangsaan (Gempak) untuk melantik konsultan luar bagi menilai cadangan penyenaraian itu, Isa berkata, usaha itu tidak akan menghalang proses penyenaraian.
"Itu hak dia untuk melantik siapa konsultan luar itu, terpulang, kita akan jalankan apa yang kita sudah buat," katanya.
Sementara itu, Isa berkata, empat buat kolej milik Yayasan Felda akan digabungkan di bawah satu institusi utama iaitu Institut Teknologi Utama Felda dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikannya.
Empat kolej tersebut adalah Kolej Integrasi Ilmu (Kini) Cawangan Trolak, Kini cawangan Mempaga, Kini cawangan Raja Alias dan Pusat Latihan Kelana Jaya. - UM

No comments:
Post a Comment