My Add

Wednesday 21 December 2011

Peniaga Cina Tokoh Maal Hijrah Kulim

MOHD. Fisol Md. Noh (kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Bukan Islam kepada Tan Khim Pheng di Kulim, semalam.
KULIM, RABU, 21 Disember, 2011: Seorang peniaga Cina, Tan Khim Pheng yang sering menghulurkan derma membina masjid dan surau dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Bukan Islam pertama pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kulim di sini semalam.

Kim Pheng, 46, yang merupakan pemilik Pasar Mini Wang Seng di Taman Kenari menerima sebuah plak dan sijil penghargaan serta wang tunai RM1,000 daripada Pegawai Daerah Kulim, Mohd. Fisol Md. Noh dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Bandaran di sini.

Peniaga itu berkata, dia berbangga kerana diberikan pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah meskipun berlainan agama.

"Dengan pengiktirafan ini, saya harap dapat bekerjasama lebih erat dengan masyarakat Islam lebih-lebih lagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat negeri, Aishah Ghazali dan Kadi Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib.

Kim Pheng berkata, dia juga bercadang mendermakan hadiah wang tunai tersebut kepada tabung bantuan am Pejabat Agama Islam Daerah Kulim.

Peniaga tersebut yang dikenali sebagai Ah Meng di kalangan penduduk tempatan sebelum ini sering menghulurkan derma termasuk RM15,000 untuk membantu tabung pembinaan sebuah masjid di Taman Kenari.

Wang tersebut dikumpul daripada penjualan beras kepada pelanggan kedainya.

"Saya ambil 20 sen bagi setiap kampit beras seberat 10 kilogram untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment