My Add

Monday 12 December 2011

Pihak pembelaan kes Anwar persoal kredibiliti saksi utama

KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Disember, 2011:
PIHAK pembelaan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempersoalkan kredibiliti saksi utama dan mahukan mahkamah menilai semula kredibiliti saksi itu kerana ia menjadi perhatian utama dalam kes ini. 

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata, ia jelas daripada keterangan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang berbohong walaupun mahkamah mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai pada penutup kes pendakwaan.

Beliau berkata, pada akhir kes pembelaan, mahkamah mestilah mempertimbangkan sama ada kes terhadap tertuduh (Anwar) itu telah dibuktikan melangkaui keraguan munasabah.

"Dalam penghujahan, pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan," kata Karpal. 

Beliau memberikan hujah pada akhir kes pembelaan Anwar, 64, yang menghadapi pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful, 26, di Desa Damansara Condominium di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. 

Karpal berkata, daripada keterangan saksi pembelaan, pakar bedah Ortopaedik, Dr Thomas Hoogland dengan jayanya "meruntuhkan" keterangan Mohd Saiful berkaitan kemampuan tertuduh (Anwar) untuk melakukan aksi liwat seperti yang digambarkan oleh Mohd Saiful. 

Beliau berkata, Dr Hoogland dalam keterangannya berkata adalah tidak mungkin seorang lelaki dalam umur itu boleh melakukan aksi seks seperti yang digambarkan oleh Mohd Saiful. 

"Adalah menarik bahawa Saksi Pendakwaan pertama (SP1) (Mohd Saiful) ketika disoal balas menyatakan bahawa "pada hari tersebut, beliau (Anwar) melakukannya dengan laju dan rakus," kata beliau. 

Karpal berhujah, bahawa keterangan Dr Hoogland, keterangan Mohd Saiful, dengan itu, dalam perkara ini SP1 tidak boleh dipercayai dan memusnahkan pertuduhan terhadap Anwar. 

Beliau juga berkata, keterangan mengenai tingkah laku Mohd Saiful, sebelum dan selepas dakwaaan liwat itu, tidak boleh dipercayai. 

"Sukar untuk dipercayai SP1 (Mohd Saiful) yang bertindak seperti sebutir bom yang patuh dengan arahan tertuduh walaupun banyak peluang untuknya keluar dari bilik tidur itu sebelum dakwaan liwat itu dilakukan. Beliau memilih tidak berbuat demikian," kata Karpal. 

Karpal berhujah bahawa tidak ada keterangan bahawa pintu ke bilik tidur itu dikunci dan Mohd Saiful boleh berlari keluar dari bilik itu ke ruang tamu. 

Beliau juga boleh meminta tolong dan bantuan daripada penghuni yang tinggal di unit bertentangan kondominium itu dan membuat aduan kepada mereka, kata Karpal. 

"Sebaliknya, beliau (Mohd Saiful) berkata beliau menerima pelawaan tertuduh (Anwar) ke ruang makan," kata Karpal. 

Karpal juga berkata, kredibiliti Mohd Saiful terus terhakis kerana beliau (Mohd Saiful) lambat membuat laporan yang hanya dilakukan dua hari selepas dakwaan insiden itu berlaku dan tidak ada penjelasan yang boleh diterima atas kelewatan itu. 

Karpal juga mahu mahkamah itu menangguhkan keputusannya mengenai kes liwat Anwar bagi membolehkan Mohd Saiful dipanggil semula dan memanggil Timbalan Pendakwa raya Farah Azlina Latif, ahli pasukan pendakwaan, yang didakwa ada hubungan sulit dengan Mohd Saiful, sebagai saksi, untuk menafikan dakwaan itu dengan bersumpah. 

Sambil memberikan beberapa undang-undang kes, Karpal berkata, kenyataan dari kandang Anwar apabila beliau dipanggil untuk membela diri, boleh diambil kira sebagai memberikan keterangan. 

Penghujahan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment