My Add

Wednesday 7 December 2011

PM rasmi LIMA 2011, lancar Pelan Maritim Kebangsaan

NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan rakan sejawatannya dari Qatar, Sheikh Hamad Jassim Jabr Al Thani yang hadir sempena LIMA 2011 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, Kedah, semalam. - BERNAMA

LANGKAWI, RABU, 07 Disember, 2011: PERTUNJUKAN aerobatik menarik dan mendebarkan oleh pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tentera udara luar negara menyerikan hari pertama Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Ia dimulakan dengan lintas hormat dua pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), F-5E yang terbang rendah di landasan kapal terbang di hadapan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) disertai gimik pengeboman di kawasan tersebut.

Turut menunjukkan kehebatan adalah tiga pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) negara asing iaitu Boeing F/18E dari Amerika, Eurofighter Typhoon keluaran BAE Systems dan Rafale Dassault

Najib sebelum itu merasmikan LIMA 2011 dalam satu acara ringkas tetapi diserikan dengan pelbagai persembahan antaranya oleh pasukan dram TUDM.

Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat ke gerai-gerai syarikat pertahanan dari dalam dan luar negara yang mengambil bahagian pada LIMA edisi ke-11 tersebut.

Hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pelan Maritim Kebangsaan dilancar

Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Maritim Kebangsaan semalam, yang dijangka menjana RM6.75 bilion Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang 2020.

Majlis pelancaran pelan komprehensif pertama negara untuk membangunkan industri pembaikan dan pembinaan kapal itu diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dekat sini sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011.

Pelan Strategik Pembaikan dan Pembinaan Kapal Malaysia 2020 itu dibangunkan oleh Kumpulan Industri-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM).

Ia disasarkan mewujudkan 55,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Pelan strategik berkenaan menyasarkan peningkatan 50 peratus pasaran baru pembinaan tempatan dan 0.8 peratus pasaran global.

Pelaksanaan pelan itu dijangka meningkatkan persaingan syarikat tempatan dalam industri pembinaan dan pembaikan kapal yang kini mendapat saingan dari negara serantau seperti Singapura, Vietnam, Indonesia, India, China dan Filipina.

No comments:

Post a Comment