My Add

Wednesday 14 December 2011

PPAPK selia sepenuhnya agensi pelaporan kredit tahun depan

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Disember, 2011 :
PEJABAT Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit (PPAPK), Kementerian Kewangan akan mengawal selia sepenuhnya agensi pelaporan kredit di negara ini apabila ia memulakan operasinya awal tahun depan. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata sebelum ini, agensi pelaporan kredit tidak dikawal selia mana-mana agensi kerajaan, dan mereka mengumpul maklumat daripada sumber awam yang dianggap tidak rahsia dan tidak perlu kepada pengawal seliaan kerajaan.

"Namun begitu, susulan aduan awam berhubung masalah yang timbul disebabkan maklumat yang tidak dikemaskinikan, maka kerajaan mengambil keputusan menggubal Akta APK (Akta Pelaporan Kredit) 2010 yang diluluskan pada Jun 2010," katanya.

APK 2010 membenarkan agensi pelaporan kredit swasta yang berdaftar dengan PPAPK melakukan aktiviti mengumpul, menyimpan dan menyalurkan data kredit seseorang, sama ada dari sumber bank atau bukan bank. 

"Agensi pelaporan kredit juga perlu mendapatkan persetujuan individu yang berkaitan terlebih dulu sebelum aktiviti demikian dapat dilakukan," katanya di Dewan Negara di sini, hari ini. 

Beliau berkata, ketika menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader mengenai bagaimana syarikat swasta menyimpan maklumat peribadi pemegang akaun, dan agensi kerajaan di mana memantau syarikat dan memberi kuasa kepada mereka. 

Sementara itu, Awang Adek berkata, agensi pelaporan kredit swasta, termasuk CTOS Sdn Bhd, perlu berdaftar dengan PPAPK dan menawarkan sistem maklumat dan data dengan liputan lebih luas, termasuk maklumat ligitasi, pembayaran bil utiliti, perbekalan dan perdagangan yang berkait dengan seseorang individu atau syarikat. 

Central Credit Reference Information System (CCRIS) pula adalah sistem yang dibangunkan dan dikawal selia Bank Negara Malaysia yang hanya membabitkan pengumpulan, penyimpanan dan penzahiran maklumat kredit orang awam dan syarikat daripada sektor bank dan institusi kewangan. 

Selain itu, beliau berkata agensi pelaporan kredit swasta juga berperanan untuk saling lengkap melengkapi data dan maklumat kredit yang tidak disediakan dalam CCRIS, bertujuan membantu pengembangan pasaran kredit berhemah di samping menyumbang kepada kestabilan keseluruhan pasaran kredit dan sistem kewangan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment