My Add

Friday 23 December 2011

Raih keputusan cemerlang walau terpaksa belajar berbaring

MELAKA, JUMAAT, 23 Disember, 2011: Keputusan 5A, 3B dan 1C dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini menjadi hadiah tidak ternilai kepada seorang ibu yang anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Hanya air mata kegembiraan terpancar di wajah Haslina Hassan, 41, sebaik sahaja berkongsi keputusan PMR bersama anaknya, Hazman Shahir Samsul Kamar, 15, yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) Jenis Kedua.

Hazman dilahirkan normal dikesan menghidap penyakit genetik yang boleh menjurus kepada kelemahan dan kerosakan otot secara berperingkat itu sejak berusia lapan bulan sekali gus menyebabkan dia tidak dapat berjalan dan hanya mampu terbaring.

Berkongsi kejayaannya itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Dol Said, Alor Gajah itu, berkata, kejayaannya tersebut menjadi bukti kecacatan fizikal bukanlah halangan untuk mengecapi apa jua kemungkinan.

"Untuk berjaya, seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya dan mempunyai iltizam yang tinggi. Terima kasih tidak terhingga terutamanya kepada ibu, guru-guru dan kawan-kawan yang banyak membantu saya di kelas.

"Kepada kawan-kawan yang normal fizikal mereka, bersyukurlah dengan apa yang mereka ada dan gunakanlah anugerah kurniaan Allah itu sebaik-baiknya," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar keputusan PMR 2011 yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohamad Yusoff Osman di Ayer Keroh di sini semalam.

Pada sidang itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo menyampaikan Anugerah Khas kepada Hazman

Hazman mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Geografi, Pendidikan Islam, Matematik, Kemahiran Hidup Bersepadu - Kemahiran Teknikal dan B bagi Bahasa Melayu, Sejarah, Sains serta C bagi Bahasa Arab.

Bercerita lanjut, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, walaupun terpaksa terbaring sepanjang masa, dia memastikan akan mengulang kaji pelajaran lebih daripada tiga jam setiap hari.

"Di sekolah pula, saya belajar dalam keadaan terbaring di atas kerusi roda khas. Jika tak sempat salin nota di papan hitam, saya akan pinjam nota daripada rakan-rakan," katanya yang bercita-cita menjadi pereka grafik terkenal.

Sementara itu, Haslina yang tidak bekerja kerana perlu memberi perhatian sepenuh masa menjaga anaknya itu berkata, Hazman seorang yang sangat cekal apabila berusaha mencari ilmu seperti rakan-rakan lain tanpa mengira kekurangan yang dialami.

"Selagi mampu, saya akan memastikan Hazman terus mendapat kejayaan dalam bidang pendidikan supaya hidupnya menjadi lebih bermakna," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment