My Add

Tuesday 20 December 2011

Raja Dr. Nazrin meriahkan Festival Puisi

LUMUT, SELASA, 20 Disember, 2011: Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2 yang berakhir malam tadi berjaya memukau lebih 2,000 penonton termasuk tetamu kenamaan apabila buat kali pertamanya diadakan di Dataran Pangkor dekat sini.

Festival itu melakar sejarah apabila Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut yang bertemakan penyair sebagai penyambung suara generasi.

Rata-rata penonton kagum mendengar deklamasi puisi yang disampaikan dengan penuh perasaan serta tidak berganjak daripada majlis tersebut sehingga ia tamat kira-kira pukul 11.30 malam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang membuka tirai persembahan dengan puisi nukilannya sendiri bertajuk ‘Di Zaman Menggila Ini’ berjaya mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

Majlis yang diteruskan dengan persembahan Exco Kesenian negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin itu juga dihangatkan dengan kemunculan nama besar seperti Sasterawan Negara Ke-11, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala).

Turut membuat penampilan pada festival puisi kali ini ialah Chai Loon Gun yang juga merupakan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009.

Majlis penutupan festival tersebut menjadi lebih bermakna apabila Raja Dr. Nazrin turut melancarkan kumpulan puisi ‘Suara Pelaut’ karya Zambry yang ditulis sendiri sewaktu zaman persekolahan sehingga ke peringkat universiti antara tahun 1978 hingga 1989.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Aminudin Hashim.

Festival puisi tersebut semakin meriah apabila pelakon, pelawak dan pengacara, Roslan Madun menyampaikan lagu rakyat diikuti oleh persembahan lagu puisi oleh Siso Kopratasa dan nyanyian Aris Ariwatan.

Majlis diacarakan oleh dua personaliti stesen televisyen TV3, Zakiah Anas dan Ahmad Fitri Yahaya.

Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2 yang mendapat tajaan kerajaan negeri, dianjurkan oleh IDR bersama Yayasan Kampung Karyawan Malim. - UM

No comments:

Post a Comment