My Add

Tuesday 20 December 2011

Malaysia contoh terbaik toleransi kaum

PULAU PINANG, SELASA, 20 Disember, 2011: Malaysia dianggap contoh terbaik kepada negara asing dalam mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang harmoni.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd. Radzi Abdul Rahman berkata, ini kerana Malaysia berjaya membangunkan negara menerusi rakyat berbilang kaum yang hidup dalam persefahaman dan toleransi.

"Malaysia dapat memperkukuhkan perpaduan semua kaum dan mereka hidup dalam keadaan aman damai kerana kerajaan menjalankan sistem perkongsian kuasa.

"Bagaimanapun, rakyat di negara ini perlu sentiasa mengamalkan sikap bertoleransi yang tinggi kerana ia adalah unsur penting untuk memastikan masyarakat majmuk boleh terus hidup dengan baik," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Muda Polisi Luar Negeri di sini semalam.

Seramai 25 pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyertai seminar berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Radzi menjelaskan, pihaknya bimbang dengan trend ekstremisme dan ketaksuban yang semakin serius apabila banyak usaha dilaksanakan untuk mempromosikan keamanan dan persefahaman antarabangsa.

Katanya, suara dan tindakan daripada pelampau serta fanatik telah membayangi pandangan majoriti sehingga merampas agenda keamanan dunia sebenarnya.

Tegas beliau, tindakan golongan pelampau itu tidak sepatutnya menyebabkan orang ramai terpaksa menjalani kehidupan dalam ketakutan.

"Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempromosikan Pergerakan Global Secara Sederhana.

"Maka kita boleh menggunakan agenda ini untuk keamanan dan pragmatik," ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment