My Add

Thursday 15 December 2011

RM1.2 juta kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Disember, 2011: Kira-kira RM1.2 juta wang ehsan disalurkan kepada 2,544 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu yang terjejas akibat bencana itu baru-baru ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata daripada jumlah itu, RM553,000 diberikan kepada 1,106 mangsa banjir di Kelantan manakala RM719,000 pula disalurkan kepada 1,438 keluarga di Terengganu.

"Pada masa ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sedang memberikan sendiri wang ehsan itu kepada mangsa banjir di kedua-dua negeri tersebut," katanya ketika menjawab soalan Senator Boon Som Inong mengenai kos yang dibelanjakan kerajaan bagi membantu mangsa banjir di negara ini.

Liew berkata, pemberian wang ehsan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) kepada mangsa bencana bertujuan meringankan beban mangsa dan bukannya sebagai bayaran ganti rugi atau pampasan. 

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap masalah dan kesulitan yang dihadapi rakyat akibat bencana. 

"Bantuan yang diberikan adalah telus tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik mangsa yang terbabit," kata Liew. 

Bagi memastikan KWABBN ditadbir dengan baik, Majlis Keselamatan Negara mewujudkan garis panduan bantuan ehsan kepada mangsa-mangsa bencana dengan menetapkan kadar bantuan yang seragam, prosedur pemprosesan permohonan dan tanggungjawab agensi terbabit supaya bantuan dapat disalurkan dengan cepat. 

"Bantuan ini tidak termasuk bantuan barangan daripada agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang turut disalurkan kepada mangsa banjir," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment