My Add

Thursday 15 December 2011

Penyenaraian Felda di Bursa Malaysia dijangka April depan

NILAI, KHAMIS, 15 Disember, 2011: 
PENYENARAIAN Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di pasaran utama Bursa Malaysia dijangka dapat dilaksanakan menjelang April tahun depan, kata Presiden Kumpulan Felda Global, Datuk Sabri Ahmad. 

Katanya FGVH telah melantik lima bank pelaburan, iaitu dua bank tempatan dan tiga bank antarabangsa, bagi menguruskan proses penyenaraian berkenaan.

"Felda telah melantik Maybank, CIMB, Morgan Stanley, JP Morgan dan Deutsche Bank bagi melakukan proses tersebut dan mendapatkan nilai terbaik penyenaraian," katanya pada sidang media di Pusat Bioteknolgi Felda di Bandar Enstek, di sini hari ini.

Katanya Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dianggotai oleh peneroka Felda dan kini mempunyai kepentingan terbesar dalam Felda, akan mendapat manfaat besar menerusi penyenaraian berkenaan. 

Katanya bagi memboleh peneroka memiliki saham-saham yang diniagakan, FGVH akan membantu mereka, termasuk menyediakan borang merah jambu bagi proses pembelian saham. 

"Penyenaraian ini akan menjadi sumber pendapatan baharu bagi peneroka, memandangkan mereka akan mendapat keuntungan melalui imbuhan dividen selain daripada hasil perladangan di tanah mereka," katanya. 

Sabri turut menafikan bahawa penyenaraian berkenaan akan melibatkan pajakan terhadap tanah-tanah peneroka, sebaliknya menjelaskan ia hanya melibatkan tanah-tanah yang dimiliki oleh Felda sahaja. 

"Kita tidak pajak tanah mereka dan tanah yang dimiliki oleh peneroka Felda tidak akan diganggu," katanya. 

Untuk rekod, Felda memiliki lebih 360,000 hektar tanah, sementara 112, 635 peneroka Felda memiliki lebih setengah juta hektar tanah. 

Sementara itu, Felda Global hari ini mengumumkan penemuan penting dalam usaha industri kelapa sawit untuk melawan Ganoderma atau lebih dikenali sebagai penyakit reput pangkal batang. 

Sabri berkata anak syarikat Penyelidikan dan Pembangunan Felda Global, Felda Agricultural Services Sdn Bhd, berjaya mencipta penanda yang pertama di dunia bagi mengenal pasti kelapa sawit yang diserang penyakit berkenaan. 

"Sistem penanda molekular Ganoderma ini adalah langkah awal bagi menghalang permulaan jangkitan ini dan dengan adanya sistem ini, program penggredan pada pokok kelapa sawit akan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik," katanya. 

Kulat Ganoderma menyebabkan kerosakan pada pangkal batang dalam pokok kelapa sawit dan boleh memberi kesan serius ke atas jangka hayat pokok yang dijangkiti dan hasil buahnya. 

Antara 30 hingga 70 peratus pokok kelapa sawit terjejas akibat Ganoderma yang boleh memberi kesan besar terhadap hasil perladangan dan menjadi ancaman terhadap kemampanan industri kelapa sawit negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment