My Add

Thursday 8 December 2011

RM80 juta dibelanja di bawah Dana Tekno tahun lalu - Noh

KAJANG, KHAMIS, 08 Disember, 2011:
KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani membelanjakan kira-kira RM80 juta untuk 18 syarikat dalam pelbagai bidang di bawah projek Dana Tekno tahun lalu, kata Menterinya Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata dana tersebut disediakan kementeriannya untuk semua syarikat dan penyelidik mencipta inovasi baru bagi meningkatkan sektor pertanian negara.

"Salah satunya, syarikat Dazzling Destiny Sdn Bhd yang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang telah membuat kajian untuk mencipta teknologi Genkimo dengan nilai RM1.5 juta.

"Genkimo adalah penemuan baru, teknologi hijau yang mesra alam yang dapat mengatasi masalah bau busuk dan lalat di ladang-ladang ternakan,” katanya kepada media selepas melancarkan teknologi itu dan merasmikan kilang syarikat terbabit, di Semenyih, di sini hari ini.

Noh berkata teknologi berasaskan kitar semula itu juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dan perak dalam satu pertandingan di Seoul, Korea.

Teknologi Genkimo menggunakan bahan sampingan pertanian seperti sekam padi, bahagian tumbuhan dan buah-buahan yang tidak sesuai untuk dijual bagi diproses dan dijadikan produk seperti baja, bahan minuman probiotik ternakan dan bahan nyahbau.

"Selama ini, orang yang menternak ayam akan menyebabkan orang lain marah kerana bau yang busuk dan lalat yang banyak. Tetapi dengan Genkimo, masalah tersebut akan dapat diatasi,” kata Noh.

Sementara itu, Noh berkata kementerian merancang untuk mewujudkan kilang makanan haiwan bagi mengurangkan pengimportan bahan tersebut seperti yang ditetapkan di bawah Bidang Utama Eknomi Negara (NKEA).

"Yang banyak sekali kita import ialah makanan haiwan. Apabila dah banyak import, kita tidak boleh kawal harga. Kalau dah harga makanan naik, sudah tentu harga ikan, ayam naik. Sebab itu kita merancang untuk mewujudkan kilang makanan,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment