My Add

Monday 12 December 2011

Rumah Mesra Rakyat jimat elektrik

IPOH, ISNIN, 12 Disember, 2011:
SEBANYAK 10,000 unit rumah bagi empat reka bentuk baru Rumah Mesra Rakyat (RMR) bakal dibangunkan tahun depan.

Rumah itu akan menggunakan komponen bahan binaan mesra alam yang mampu menyerap haba sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Prof. Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, rekaan terbaru itu juga akan membolehkan orang ramai menggunakan semula air hujan yang ditadah di dalam satu tangki untuk kegunaan seharian seperti di tandas.

Katanya, pembinaan RMR yang mengikut standard Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) kini berada di peringkat akhir protataipnya dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan ini.

"Kita sebenarnya lebih kepada rekaan 'hijau' berbanding penggunaan teknologi hijau kerana ia tidak memerlukan peralatan mahal yang boleh meningkatkan harga kos rumah tersebut.

"Sebagai contoh, kita cuba untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik terutamanya kipas kerana reka bentuk yang kita cadangkan ini tidak menjadikan suhu rumah itu panas pada waktu tengah hari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini selepas menghadiri program turun padang melawat rumah baru milik Aziah Endut di bawah program RMR yang musnah dalam satu kejadian kebakaran baru-baru ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail itu turut menyaksikan Aziah menerima replika kunci rumah selain sumbangan wang tunai daripada Parlimen Tambun dan SPNB masing-masing bernilai RM3,000 dan RM2,000. - UM

No comments:

Post a Comment