My Add

Tuesday 20 December 2011

Saifuddin nafi sokong demonstrasi

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Disember, 2011: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menafikan 'cakap-cakap' blog yang mendakwa beliau menyokong demonstrasi anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Sebaliknya, menurut beliau, kehadirannya di situ hanyalah untuk menerima memorandum bantahan dua pertubuhan itu terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Malah, ujarnya, tindakan liar peserta demonstrasi yang bertindak biadab menggantikan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan bendera perhimpunan mereka adalah perbuatan terkutuk dan merupakan satu kesalahan.

''Sesiapa sahaja boleh memberi tafsiran tetapi kehadiran saya di sana (PWTC) hanyalah semata-mata untuk menerima memorandum. Saya menjunjung kebebasan bersuara dan politik baru yang sihat dan segar dalam mematangkan demokrasi.

''Saya juga menjunjung idealisme perjuangan mahasiswa dan percaya kepada mereka. Tetapi, perbuatan menurunkan bendera itu tidak mewakili apa yang dimaksudkan itu.

''Justeru, saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu dan menuntut pihak bertanggungjawab memohon maaf kepada Perdana Menteri," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan liar peserta demonstrasi anjuran SMM dan Bebas yang menurunkan bendera Najib di pekarangan PWTC semasa menyerahkan memorandum bantahan berhubung AUKU kepada UMNO.

Saifuddin berkata, ketika kejadian, beliau yang telah dihubungi penganjur demonstrasi itu kemudiannya bersetuju untuk menerima memorandum tersebut kerana mendapat maklumat sumber yang mereka sedang berarak ke PWTC dengan diselia polis.

''Bagi saya, kalau cepat saya menerima memorandum terbabit, maka cepatlah mereka bersurai. Telahan saya betul kerana tidak lama selepas itu mereka bersurai. Namun, saya hanya mengetahui insiden menurunkan bendera berkenaan melalui Twitter kira-kira sejam saya meninggalkan PWTC.

''Saya menghubungi penganjur dan mereka mengakui ia dilakukan oleh seorang anggota mereka tetapi bendera itu telah dinaikkan semula tidak lama selepas itu. Sebelumnya, pada sebelah pagi, saya telah mempengerusikan Meja Bulat Pindaan AUKU di ibu negara dan ia berjalan baik.

''Perundingan itu adalah bagi mendukung hasrat Perdana Menteri untuk meminda AUKU. Insiden menurunkan bendera Perdana Menteri bukan sebahagian daripada demokrasi yang dimaksudkan. Ia menguatkan lagi komitmen untuk menegakkan demokrasi yang sebenar dan ingin dicapai oleh pindaan AUKU," tegasnya,

Ditanya sama ada peserta demonstrasi yang bertindak membuat kekecohan di PWTC telah dikenal pasti dan tindakan kementerian terhadap mereka yang dikatakan penuntut institusi pengajian tinggi, ujarnya, ia berlaku di luar kampus dan akan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - UM

No comments:

Post a Comment