My Add

Tuesday 20 December 2011

Sasar 55 peratus wanita bekerja

ABDUL Ghani Othman dan isteri, Dr. Jamilah Ariffin (empat dari kiri) bergambar bersama penerima anugerah dan sumbangan pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Johor 2011 di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru, semalam. Turut sama, Shahrizat Abdul Jalil dan Dr. Robia Kosai (tiga dari kanan).

Oleh HANIZA HASSAN 
JOHOR BAHRU, SELASA, 20 Disember, 2011: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan 55 peratus golongan wanita di negara ini akan berada dalam sektor pekerjaan menjelang 2015.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sasaran tersebut ditekankan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sekali gus menjadi agenda utama pemantapan kaum wanita.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai inisiatif perlu dilakukan oleh semua pihak termasuk memperbanyakkan tempat kerja yang lebih mesra wanita.

"Pada masa ini peratusan golongan wanita yang bekerja adalah 46 peratus dan jika dilihat senario hari ini termasuk keperluan semasa, sememangnya negara memerlukan wanita untuk bekerja.

"Sehubungan itu, antara inisiatif yang perlu dilakukan adalah merangkumi penyediaan prasarana seperti taska kanak-kanak, kemudahan cuti bersalin dan suasana kerja yang lebih fleksibel," katanya pada Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Turut hadir isterinya, Prof. Datin Dr. Jamilah Ariffin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai.

Shahrizat berkata, inisiatif itu mampu menjadi landasan kepada pemantapan ekonomi negara sekali gus meningkatkan produktiviti dalam sektor yang diceburi mereka.

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun akan datang, kementerianmenyasarkan 30 peratus wanita layak mengisi kerusi Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Saham, bank dan syarikat korporat yang besar.

Pada majlis itu, tiga wanita, Datin Norsiah Haron, Laiu Ah Kheng dan K.S. Megaswari diumumkan sebagai Tokoh Wanita Johor. - UM

No comments:

Post a Comment