My Add

Sunday 18 December 2011

Sambut baik penjenamaan semula ITNM

KUALA LUMPUR, AHAD, 18 Disembr: Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang kini dikenali sebagai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menyambut baik penjenamaan semula syarikat milik kerajaan itu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Pengarah Urusannya, Mohd. Khair Ngadiron berkata, pihaknya amat menghargai pengumuman tersebut dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memahami naluri dan rintihan para penulis muda.

"Penulis muda lebih banyak menghasilkan karya kreatif seperti novel dan ini adalah peluang buat mereka kerana kebanyakan syarikat swasta hanya mengutamakan bahan terbitan yang serius.

"Walaupun kita diberi kepercayaan untuk menerbitkan buku baru, tanggungjawab melakukan kerja-kerja terjemahan tidak akan dilupakan malah akan dipertingkatkan seiring dengan penjenamaan semula," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap pengumuman Najib berkenaan peruntukan RM5 juta kepada ITBM bagi merancakkan penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda dalam semua genre.

Ujarnya, kerajaan yakin dengan keupayaan ITBM untuk memastikan karya asli tersebut dapat diterbitkan dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Menurut Mohd. Khair, penetapan tempoh tersebut adalah satu cabaran buat mereka, namun yakin ITBM akan mampu mencapai sasaran yang diharapkan.

Tambahnya, ITBM akan mewujudkan satu jawatankuasa khas dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) untuk mengenalpasti judul-judul baru dan manuskrip yang boleh diterbitkan. - MM

No comments:

Post a Comment