My Add

Sunday 18 December 2011

Selesai segera masalah banjir kilat di Jalan Tun Razak

KUALA LUMPUR, AHAD, 18 Disember, 2011: Banyak pihak menuntut penyelesaian segera dicari berikutan insiden banjir kilat ekoran hujan lebat yang melanda sekitar Jalan Tun Razak di sini, Selasa lepas.

Mereka berpendapat isu banjir kilat di kawasan arteri utama di ibu kota itu sudah berlarutan sejak sekian lama, dan sudah tiba masanya untuk meletakkan titik noktah kepada lalu lintas yang lumpuh dan ancaman kepada keselamatan nyawa dan harta benda setiap kali hujan lebat turun.

Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani berkata langkah penyelesaian holistik perlu diambil bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

"Kita tidak boleh hanya mengharapkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) untuk menyelesaikan masalah ini. Ia memerlukan campur tangan pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata peruntukan besar diperlukan untuk membina lebih banyak sistem penahan banjir dan membuat lencongan sungai.

"Ini berbalik semula kepada kerajaan persekutuan untuk mengeluarkan peruntukan yang secukupnya bagi memastikan projek meningkatkan saliran dapat dibuat sebaik mungkin,” kata Johari.

Beliau berkata penglibatan kerajaan persekutuan perlu memandangkan DBKL dan KWPKB mungkin mempunyai peruntukan terhad dan tidak mampu menyelesaikan masalah banjir kilat secara sendiri.

Johari yang juga Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat Titiwangsa berkata pihaknya menerima banyak aduan orang ramai mengenai masalah yang timbul bila berlaku banjir, terutamanya melibatkan penduduk Kampung Baru yang perlu berpindah.

Beliau menegaskan cadangan pembinaan sistem penahan banjir dan lencongan sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu dibuat dalam kadar segera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment