My Add

Wednesday 14 December 2011

Sokong usaha penyatuan umat

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Dis. - Himpunan Sejuta Umat (Himpun) mahu semua umat Islam tanpa mengira ideologi politik memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada mana-mana pihak yang menganjurkan penyatuan umat atas nama Islam.

Pengerusi Bersama Himpun, Dr. Yusri Mohamad berkata, langkah tersebut wajar diberi perhatian terutamanya oleh dua parti utama orang Melayu iaitu UMNO dan Pas kerana perpecahan umat ketika ini telah memberi kesan kepada kekuatan Islam di Malaysia.

Sehubungan itu beliau meminta setiap orang Islam menyokong langkah penyatuan umat oleh sesiapa pun termasuk usaha yang dijalankan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

"Apabila penyatuan atas nama Islam, atas nama akidah Islamiyah wajib kita semua menyokongnya kerana ini merupakan satu tuntutan dalam agama. Ia merupakan perintah Allah yang wajib dilaksanakan.

"Tidak kira siapa yang menganjurkannya, wajib kita memberi sokongan padu. Diharap mesej ini dapat menyedarkan ahli-ahli politik Islam yang sehingga kini tidak mahu duduk bersama walaupun atas nama Islam dan akidah umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam, lapor SAIFULIZAM MOHAMAD dan IFQDAR A. RAHMAN

Beliau mengulas komitmen Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor untuk menyatupadukan umat manusia demi mengagungkan Allah SWT dalam sidang akhbarnya semalam.

Pada sidang akhbar itu juga, Hasan turut menegaskan agenda terbesarnya adalah untuk memartabatkan Islam dan bukannya soal pencalonan. Baginya soal pencalonan adalah kecil.

Yusri berkata, hakikatnya sentimen politik yang keterlaluan di negara ini telah mengakibatkan perpecahan berlaku tanpa kesudahan yang akhirnya umat Islam mendapat kerugian paling besar.

"Lebih malang lagi apabila mereka yang hadir memberi sokongan kepada program kita dianggap pembelot di samping timbul pelbagai bentuk fitnah," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya UMNO dan Pas membuat gencatan dalam isu-isu berkaitan kepentingan umat Islam demi kesejahteraan Islam secara keseluruhannya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie, Mohamad Isa Abd. Ralip turut menyatakan komitmen pertubuhan itu untuk berjuang demi penyatuan umat Islam.

Justeru beliau berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan padu kepada mana-mana pihak seperti Hasan kerana usahanya itu semata-mata untuk kebaikan umat Islam.

"Kami menyertai Himpun kerana kami mahu kita semua bersatu demi mempertahankan akidah Islam yang satu. Perkara ini tidak boleh dikompromi kerana ia merupakan tunjang kepada Islam.

"Begitu juga dengan pelaksanaan hukum Islam termasuk hukum hudud. Kita wajib bersatu demi melaksanakan kesemua hukum di dalam al-Quran pada satu hari nanti," katanya lagi.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, sesiapa sahaja yang memperjuangkan Islam harus disokong demi penyatuan umat.

Katanya, Allah SWT menyuruh umatnya agar sentiasa berkasih sayang sesama Islam walaupun berlainan pandangan dan ideologi.

"Jika berlaku persengketaan, jangan cepat melatah dan menuding kesalahan ke arah orang lain, sebaliknya kita sendiri harus bermuhasabah diri.

"Jangan benarkan penganut agama lain melihat Islam itu lemah tetapi sentiasa memikir jalan untuk menunjukkan semangat perpaduan dan persefahaman yang tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment