My Add

Wednesday 14 December 2011

Tulis buku berkaitan industri kreatif - Rais

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Disember, 2011:
PENULIS buku dan ahli muzik tanah air digalakkan untuk menulis buku berkaitan industri kreatif tersebut untuk dikongsi bersama masyarakat.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pelancaran buku Muzik Melayu Sejak 1940-an merupakan satu galakan bukan sahaja kepada penulisnya, Mohd. Noor Mohd. Yusofe, 74, atau dikenali Yusnor Ef tetapi kepada penulis buku berkaitan muzik yang lain.

"Buku ini akan membawa kita ke dunia nostalgia, tetapi lebih daripada itu dengan pesanan bahawa keindahan muzik dalam sesuatu masyarakat perlu dinilai bukan sahaja hiburan malah keindahan yang dibawanya.

"Buku setebal 305 muka surat ini dapat memberi perasaan sesungguhnya nilai muzik tanah air lebih daripada apa yang diketahui oleh orang ramai," katanya selepas melancarkan buku itu di sini semalam.

Buku tersebut mengisahkan perkembangan muzik Melayu popular sejak tahun 40-an dan mengimbas kembali beberapa aspek industri muzik sejak awal lagi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Presiden Badan Warisan Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Rais berkata, beliau berharap buku itu dapat dipopularkan dan ditempatkan di perpustakaan-perpustakaan desa seluruh tanah air.

Sementara itu, Yusnor Ef berkata, buku itu sedikit sebanyak dapat dijadikan sebagai rujukan dan kajian oleh masyarakat hari ini serta akan datang mengenai warisan seni muzik Melayu tanah air.

"Sejak 1959 saya terfikir bahawa sekiranya tidak mendokumentasikan pengalaman dalam seni muzik ini, maka ia akan hilang begitu sahaja suatu hari nanti. Saya menyeru agar pihak yang mempunyai pengalaman juga diharap berbuat sesuatu," jelasnya. - UM

No comments:

Post a Comment