My Add

Tuesday 13 December 2011

Sultan Abdul Halim tiba untuk istiadat lafaz sumpah


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Sultanah Kedah Tuanku Sultanah Haminah Hamidun tiba dengan pesawat khas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menghadiri istiadat perlantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke 14, hari ini. - foto BERNAMA

SEPANG, SELASA, 13 Disember, 2011:
SULTAN Kedah, Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ketibaan Sultan Abdul Halim bersama Sultanah Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.

Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.

Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat. 

Lebih 30,000 rakyat iringan keberangkatan Sultan Kedah

Di ALOR SETAR: Lebih 30,000 rakyat Kedah daripada pelbagai bangsa dan peringkat masyarakat hadir di sepanjang jalan dari Istana Anak Bukit ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim sejauh 5.3 kilometer, untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah dan Tuanku Haminah Hamidun ke Kuala Lumpur pagi ini.

Sebelum berangkat dari anjung Istana Anak Bukit di sini, doa dibacakan dan azan dilaungkan sebelum Nobat ”Raja Berangkat” dimainkan oleh kumpulan Nobat diRaja.

Tuanku berdua yang berpakaian rasmi berangkat dari Istana Anak Bukit ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada pukul 7.30 pagi dengan kawalan polis bermotosikal.

Ketibaan baginda berdua di lapangan terbang disambut oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan isteri Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah serta orang kenamaan negeri.

Azizan kemudian mengiringi Sultan dan Sultanah Kedah ke pentas DiRaja dan diikuti persembahan ”Hormat” DiRaja” oleh 103 orang pegawai dan anggota pasukan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (RAMD) dan lagu Negaraku dimainkan sambil tembakan meriam 18 das dilepaskan.

Baginda kemudian memeriksa pasukan tersebut dan pada masa sama bendera Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti kerajaan Kedah, Datuk Sheikh Badaruddin Ahmad.

Sultan Kedah sekali lagi dipersembahkan ”Hormat DiRaja” oleh Batalion Kedua RAMD dan membalas tabik hormat yang diikuti lagu Negaraku sebelum baginda berdua berangkat menaiki pesawat DiRaja untuk berlepas ke Kuala Lumpur.

Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin berkuat kuasa hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment