My Add

Monday 12 December 2011

Tidak perlu nyatakan pendirian - Rais

KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Disember, 2011:
WAKIL rakyat Barisan Nasional (BN) seharusnya tidak dipaksa untuk menyatakan pendirian sama ada mahu menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang atau sebaliknya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan mengenai calon yang akan bertanding itu terletak sepenuhnya kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Sekiranya seseorang wakil rakyat itu produktif, beliau (Perdana Menteri) tahu mengenainya waima kalau mereka (wakil rakyat) main kayu tiga pun, beliau tahu kerana beliau mempunyai 10 sumber untuk mengetahui seseorang itu baik atau sebaliknya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri perlawanan persahabatan badminton antara D'Sury dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di sini, semalam.

Rais berkata demikian ketika ditanya mengenai kecenderungan sesetengah wakil rakyat menyatakan pendirian untuk tidak bertanding lagi pada PRU13 nanti.

Rais dalam pada itu berkata, adalah tidak mengapa sekiranya wakil rakyat BN sendiri yang menyatakan untuk berundur tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak.

Namun katanya, perkara mengenai siapa yang menjadi calon BN seharusnya tidak timbul ketika ini kerana setiap wakil rakyat mempunyai banyak kerja yang perlu diuruskan khasnya membabitkan keperluan rakyat.

''Yang penting, bolehkah orang itu buat kerja dan berkhidmat untuk negara tanpa menipu rakyat," kata beliau.

Dalam perkembangan berlainan, Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyelar tindakan peserta perhimpunan flashmob kerana tidak peka terhadap kepentingan orang ramai dan peniaga dengan berkumpul di tempat kawasan tumpuan awam di negara ini.

Katanya, perbuatan kumpulan itu boleh disifatkan sebagai tidak menghargai kebebasan mereka sendiri.

''Jangan keterlaluan (dalam menyatakan pandangan mereka) semata-mata kerajaan telah meliberalkan beberapa aspek kehidupan khasnya membabitkan undang-undang negara.

''Ini kerana, kuasa polis tetap ada walau ap pun undang-undang dipinda," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment