My Add

Saturday 10 December 2011

Tiga wakil rakyat UMNO Perak nafi tarik diri dalam PRU13

IPOH, SABTU, 10 Disember, 2011:
TIGA wakil rakyat UMNO di Perak semalam tampil menafikan laporan sebuah stesen televisyen bahawa mereka akan mengundurkan diri dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar; ADUN Lintang, Datuk Ahamad Fakeh Adam dan ADUN Belanja, Datuk Mohd. Zaim Abu Hassan.

Menurut Hamdi, beliau tidak pernah sesekali mengatakan akan menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya akan datang, sebaliknya, bersedia mengundurkan diri jika pucuk pimpinan mempunyai calon lain yang boleh menang di kawasan tersebut.

"Selasa lepas, syarikat televisyen itu ada temui saya, Ahamad Fakeh dan Mohd. Zaim minta komen mengenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tentang calon-calon yang bersedia untuk mengundurkan diri.

"Pada temu bual itu, saya ada membuat kenyataan bersedia untuk mengundurkan diri tetapi dilaporkan enggan bertanding dalam laporan stesen televisyen itu. Jadi, ini bercanggah," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama, Ahamad Fakeh manakala Mohd. Zaim pula tidak dapat hadir kerana menghadiri satu mesyuarat dan beliau diwakili oleh Hamdi.

Hamdi berkata, bukan hanya ADUN, malah ahli-ahli Parlimen dan menteri sekali pun perlu mempunyai pendirian bersedia mengundur diri jika dikehendaki berbuat demikian oleh parti.

"Bersedia mengundur diri tidak bermakna kami tidak bersedia menjadi calon tetapi kami menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon di kawasan pilihan raya berkenaan dan akan menyokong siapa jua calon yang dipilih.

"Ini tidak bermaksud kita menolak untuk bekerjasama dan memperjuangkan parti sekiranya parti mengatakan kita calon yang boleh menang. Ini yang membezakan kenyataan yang telah dibuat dan laporan yang disiarkan," katanya.

Menurut beliau, laporan yang disiarkan itu perlu diperbetulkan kerana telah menimbulkan kekecohan di kalangan ahli akar umbi sehingga ada yang awal-awal lagi menyatakan enggan bekerja untuk parti.

Hamdi telah menjadi wakil rakyat selama lima penggal manakala Mohd. Zaim selama empat penggal dan Ahamad Fakeh dua penggal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Hamdi menang dengan majoriti 14 undi, manakala Mohd. Zaim memperoleh majoriti 1,887 undi dan Ahamad Fakeh mendapati majoriti 1,376 undi.

Sementara itu, Ahamad Fakeh meminta supaya pucuk pimpinan tidak memilih calon di kalangan mereka yang mengkhianati parti pada pada pilihan raya umum lepas.

"Dulu, mereka ini sabotaj kita dan cakap jangan undi BN tetapi sekarang hendak jadi calon pula. Jangan mereka ini tiba-tiba menjadi calon boleh menang pula sedangkan mereka yang bekerja keras untuk parti tidak terpilih," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment