My Add

Thursday 8 December 2011

Turkmenistan, Malaysia mahu kenal pasti peluang ekonomi

PUTRAJAYA, KHAMIS, 08 Disember, 2011: 
TURKMENISTAN dan Malaysia sedang mengenal pasti peluang bagi mengadakan kerjasama strategik dalam bidang keusahawanan dan pelaburan secara bersama pada masa hadapan.

Presidennya, Gurbanguly Berdimuhamedov berkata, kedua-dua negara kini di peringkat rundingan bagi mengkaji potensi yang ada untuk tujuan tersebut.

"Kami sedang mengenal pasti potensi yang boleh diberikan oleh Malaysia melalui bidang perniagaannya.

"Secara tidak langsung, ia akan membantu untuk membangunkan ekonomi Turkmenistan," katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini semalam.

Terdahulu, Gurbanguly dan Najib menyaksikan majlis menandatangani dua perjanjian iaitu Perjanjian Bersama (Communique) dan Program Kerjasama antara Kementerian Luar Turkmenistan dan Kementerian Luar Malaysia yang masing-masing diwakili oleh menteri luar, Rashid Meredov dan Datuk Seri Anifah Aman.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Gurbanguly berkata, pertemuan itu juga menunjukkan kedua-dua belah negara turut berminat untuk meneroka peluang-peluang pelaburan, meluaskan perdagangan dan kerjasama ekonomi dalam berbagai arah.

Katanya, terdapat kemungkinan yang besar untuk kerjasama yang berkesan dalam melaksanakan projek-projek bersama dalam tenaga; pengangkutan; telekomunikasi; pembinaan; minyak dan gas; pemprosesan bahan kimia industri; teknologi tinggi dan pelancongan.

Selain itu, beliau berkata, Turkmenistan dan Malaysia akan bekerjasama dalam memperkukuhkan peranan negara-negara membangun dalam arena politik global.

Malah, tambahnya, kedua-dua negara juga boleh menyumbang bantuan kepada masyarakat antarabangsa dalam memerangi keganasan pelampau, pengedaran dadah dan jenayah terancang.

No comments:

Post a Comment