My Add

Thursday 8 December 2011

Bantu tanpa kira kaum – TPM

CANBERRA, khamis, 08 Disember, 2011: TAN Sri Muhyiddin Yasin berkata, usaha mencapai keseimbangan antara pertumbuhan dan keadilan ekonomi adalah cabaran utama Malaysia disebabkan kumpulan etnik serta wilayah yang terdiri daripada pelbagai status dan keperluan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebab itu usaha meningkatkan pendapatan 40 peratus rakyat yang tergolong dalam kelompok terkebawah dilakukan tanpa mengira latar belakang kaum.

Beliau berkata, pada masa sama, usaha berkenaan yang merupakan perluasan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini akan menyaksikan lebih banyak pembangunan dilaksanakan di wilayah yang tahap kemiskinan masih tinggi seperti Sabah, Sarawak dan Kelantan.

‘‘Ini bertujuan agar tahap pembangunan antara tiga negeri tersebut dengan kawasan lain yang telah dibangunkan tiada jurang,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Mengurus Transformasi Politik dan Ekonomi’ di Australian National University (ANU) di sini semalam, lapor Herman Hamid

Program syarahan tersebut sempena lawatan rasmi beliau selama tiga hari ke Australia meliputi Canberra dan Perth.  

Tambah Muhyiddin, perkara penting lain yang memerlukan keseimbangan adalah dalam sektor ekonomi dengan pengalaman lalu membuktikan keseimbangan tersebut mampu mengurangkan impak krisis global.

Katanya, sebagai contoh apabila permintaan untuk sektor pembuatan merudum ketika krisis kewangan global tidak lama dahulu, sektor komoditi utama seperti kelapa sawit dan petroleum pula mendapat permintaan kukuh.

‘‘Begitu juga sektor perkhidmatan yang mampan adalah penting dalam memperluaskan keperluan domestik, yang membentuk komponen terbesar dalam ekonomi negara,” jelasnya.

Dalam syarahannya itu juga, Muhyiddin berkata, usaha melakukan transformasi sesungguhnya mempunyai halangan dan cabarannya malah realiti dan pengalaman lalu menunjukkan strategi yang dilihat baik di atas kertas tidak dapat direalisasikan.

Katanya, ini disebabkan pelbagai perubahan yang berlaku, kekurangan sumber atau kegagalan di peringkat pelaksanaan.

‘‘Namun saya penuh yakin, Malaysia mampu mencapai wawasannya walaupun mempunyai banyak cabarannya. Kita telah berjaya sebelum ini dan saya percaya kita akan terus mencapai kejayaan,” ujarnya. – Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment