My Add

Tuesday 6 December 2011

UDA rangka semula pelan induk projek tapak Penjara Pudu

KUALA LUMPUR,SELASA, 06 Disember, 2011: KERAJAAN mengarahkan UDA Holdings Bhd (UDA), supaya merangka semula pelan induk pembangunan bekas tapak Penjara Pudu supaya membabitkan lebih banyak penyertaan Bumiputera dalam pembangunan sektor hartanah di Malaysia. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata jawatankuasa mahu melihat semula (pelan induk) pembangunannya bagi mengambil kira cara untuk membantu "memperlihatkan" lebih banyak pembabitkan Bumiputera (dalam projek ini) dan pada masa sama menjayakannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Setem Korporat 40 tahun UDA dan perasmian Hotel Ancasa Express @ Pudu, di sini, hari ini.

Awang Adek berkata, keputusan itu adalah selari dengan matlamat UDA untuk membantu pemaju Bumiputera. 

"Jadi, kita kena pastikan bahawa UDA mempunyai matlamat untuk membantu ekonomi Bumiputera. Apa pun masa depan dan peranan Bumiputera, mesti dapat dimainkan oleh UDA. Itu yang ingin ditekankan oleh kerajaan. 

"Sebab itu perancangan perlu dibuat untuk memastikan bukan saja pembangunan di situ dapat dijayakan dengan baik dan menjadi kebanggaan UDA, malah juga untuk kebanggaan masyarakat Bumiputera. Sebab itu perlu ada penyertaan Bumiputera dalam projek pembangunan ini," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi UDA, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata UDA diarahkan oleh kerajaan menyediakan pelan induk baru projek tersebut yang membabitkan tiga plot, dengan dua plot akan diusahakan oleh pemaju Bumiputera dan satu plot lagi oleh UDA sendiri. 

"UDA akan menjadi pemaju utama projek ini dan dua daripada tiga plot tersebut mestilah diusahakan oleh pemaju Bumiputera dan mereka (pemaju Bumiputera) menerusi tender terbuka. Pemaju Bumiputera berkenaan harus mempunyai keupayaan dari segi kewangan," katanya. 

Nur Jazlan juga berkata, pembangunan di kawasan seluas 8 hektar itu dijangka dibangunkan sebagai sebuah hab pengangkutan. 

Pada majlis yang sama, UDA melancarkan setem korporat sempena meraikan ulang tahun ke-40 UDA, yang mengabadikan gambar projek ikonik UDA seperti BB Plaza, Pudu Sentral dan Sinaran TTDI. 

Sebanyak 20,000 setem yang masing-masing bernilai 30 sen satu, dalam lapan reka bentuk berlainan itu, akan digunakan dalam urusan surat-menyurat syarikat selain dijual kepada orang awam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment