My Add

Friday 16 December 2011

Ulama, umara perlu hindar perbezaan ideologi politik: Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Disember, 2011: 
ULAMA dan umara diminta lupakan perbezaan ideologi politik dan bersama-sama mempertahankan dan menyelamatkan akidah serta maruah umat Islam daripada sebarang bentuk pencerobohan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, institusi ulama perlu dimantapkan supaya disegani dan dihormati.

"Ulama tidak boleh bersikap fanatik dan partisan dalam politik, taksub melulu atau menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.

"Sedar akan peranan dan hubungan istimewa antara ulama dan umarak dalam menentukan kesejahteraan rakyat serta negara, kerajaan menaruh harapan tinggi kepada golongan ini untuk berkongsi pandangan serta pendapat dalam semua aspek pemerintahan dan isu yang membabitkan kepentingan umat Islam yang sentiasa berhadapan dengan cabaran semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, petang tadi.

Najib berkata nasihat ulama akan memberi faedah kepada pemerintah dan rakyat, pentadbiran di mana barisan kepimpinan negara amat memerlukan bantuan ulama serta cendiakawan dalam pelbagai bidang. 

"Umarak pula memerlukan pandangan ulama untuk mendapatkan maklumat mengenai isu yang dibangkitkan serta kefahaman dari sudut fatwa serta hukum Islam. Ini hanya akan dapat dinatijahkan melalui hubungan erat ulama dan umara," katanya. 

"Bukan semua isu dalam negara ini terutama isu agama perlu dipolemik dan dipolitikkan, hatta isu mengerjakan haji juga turut dipolitikkan demi keuntungan politik sesetengah pihak," katanya merujuk kepada penyebaran dan fitnah yang dilemparkan ketika beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menunaikan ibadat haji baru-baru ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment