My Add

Friday 16 December 2011

Bangkok keluarkan pasport baru untuk Thaksin

BANGKOK, JUMAAT, 16 Disember, 2011:
BANGKOK mengeluarkan satu pasport baru kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, menarik balik pembatalan pasportnya seperti yang dikenakan oleh kerajaan sebelum ini.

Jurucakap Kementerian Luar Thani Thongpakdi hari ini berkata pasport itu dikeluarkan di Bangkok pada 26 Oktober dan dihantar semula ke kedutaan Thai di Abu Dhabi.

"Thaksin mengemukakan permohonan pasportnya di Abu Dhabi pada 25 Oktober dan kedutaan menghantarnya ke Bangkok untuk tindakan lanjut pada hari yang sama," katanya, di sini.

Thani berkata Thaksin diberikan pasport biasa.

"Dia mempunyai hak untuk kembali ke Thailand pada bila-bila masa," katanya.

Pasport Thaksin dibatalkan oleh bekas Menteri Luar, Kasit Piromya sejak 12 April, 2009 selepas bekas Perdana Menteri itu lari meninggalkan negaranya sejak 2008 selepas didakwa atas tuduhan rasuah dan akhirnya didapati bersalah tanpa hadir dan dihukum penjara dua tahun.

Menteri Luar, Dr Surapong Tovichakchaikul hari ini mengesahkan beliau telah menarik balik perintah pembatalan itu. 

Sebelum ini, Dr Surapong berkata hak untuk mengeluarkan atau membatalkan pasport berada di tangan Menteri Luar dan beliau merancang untuk mengeluarkan semula pasport kepada Thaksin sebagai satu "Hadiah Tahun Baru".

Semalam, jurucakap anggota pembangkang Demokrat Chavanond Intarakomalyasut mendakwa bahawa Kementerian Luar telah mengeluarkan pasport kepada Thaksin pada 31 Oktober dan menuntut penjelasan kerajaan kerana mengeluarkan pasport kepada seorang pelarian yang telah disabitkan.

Kasit berkata mereka yang terbabit dalam pengeluaran semula pasport Thaksin perlu bertanggungjawab kerana bertindak melanggar peraturan dan undang-undang. 

Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 19 September, 2006 dan hidup dengan sendiri membuang diri sejak 2008.

Beliau dilaporkan menggunakan pasport Montenegro untuk bergerak selama ini sejak pasport Thainya dibatalkan.

Di bawah keadaan yang normal, seorang bekas perdana menteri Thai layak untuk satu pasport diplomatik.

Ketika ditanya mengenai pengeluaran semula pasport Thaksin sama seperti menjamin beliau tidak bersalah, Thani berkata: "terdapat dua isu berbeza,"

Thani tidak pasti sama ada Thaksin telah menggunakan pasport Thai barunya setakat ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment