My Add

Friday 9 December 2011

'Ulat' ambil kesempatan sempena LIMA

SEBAHAGIAN tempat letak kereta yang didakwa mengenakan bayaran berlebihan di Kuala Kedah.
SEBAHAGIAN tempat letak kereta yang didakwa mengenakan bayaran berlebihan di Kuala Kedah.Pengusaha tempat letak kenderaan haram letak harga dua kali ganda 

KUALA KEDAH, JUMAAT, 09 Disember, 2011: KEHADIRAN ulat parkir haram yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran mahal khususnya terhadap pelancong yang mahu berkunjung ke Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aerongkasa Langkawi 2011 (LIMA 11) dan cuti sekolah di Jeti Kuala Kedah mencalar imej pelancongan negeri.

Pengusaha tempat letak kenderaan haram itu dikesan meletakkan harga melampau iaitu lebih dua ganda melebihi harga biasa kerana permintaan menggalakkan berikutan peningkatan pelancong ke Langkawi.

Malah, orang ramai yang ditemui juga melahirkan rasa tidak puas hati mereka apabila terpaksa membayar sehingga RM35 sehari walaupun kenderaan mereka diletak di tempat tidak berbumbung. 

Menurut laporan Rahmat Othman, seorang pelancong, Ismail Shamsudin, 46, dari Taiping, Perak, berkata dia berkunjung ke Langkawi, Ahad lalu bersama keluarganya untuk menyaksikan LIMA 2011 selain berehat di pulau pelancongan itu sempena cuti persekolahan dan terkejut dengan kehadiran ulat parkir. 

“Apa yang mengejutkan saya ialah bayaran tempat letak kereta RM35 sehari, tempat letak kereta itu pula terletak di belakang deretan kedai di Kuala Kedah,” katanya. 

Ismail berkata, disebabkan dia tidak mengetahui tempat meletakkan kereta yang bersesuaian di persekitaran jeti itu, dia terpaksa mengikut arahan ulat parkir yang menaiki motosikal kononnya menawarkan tempat meletak kenderaan dengan harga berpatutan. 

“Saya dibawa ke kawasan tempat letak kereta di belakang barisan kedai dan saya dikehendaki membayar RM35 sehari dengan alasan mereka akan mengawal kereta saya 24 jam,” katanya. 

Ismail berkata, dia berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu kerana ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sempena musim cuti persekolahan dan sempena LIMA 2011 yang berlangsung 6 hingga esok. 

Sementara itu, seorang pengusaha tempat letak kereta berlesen di Kuala Kedah, Razali Ali, 40, berkata dia mengenakan bayaran antara RM10 hingga RM15 sehari di premis tempat letak keretanya. 

“Bayaran RM10 di tempat tidak berbumbung, manakala di tempat berbumbung ialah RM15 dan bayaran itu adalah standard untuk semua tempat letak kereta berlesen. 

“Kami tidak akan mengenakan bayaran lebih sama ada musim cuti persekolahan atau LIMA 2011 tetapi di tempat lain (tidak berlesen) saya tidak tahu,” katanya yang enggan mengulas. 

Seorang petugas di sebuah tempat letak kereta berlesen, Saiful Sobri, 19, mendakwa kenaikan bayaran tempat letak kereta itu kemungkinan berpunca daripada kehadiran ulat parkir. 

“Ulat parkir ini mencari pelanggan dengan menunggang motosikal sebelum menawarkan harga parkir mencecah RM35 sehari dan saya percaya mereka bergiat secara haram untuk mengaut keuntungan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Saifullizam Othman, yang dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dan berjanji mengadakan operasi besar-besaran bagi membanteras kehadiran ulat parkir. 

“Kita akan mengatur operasi bersama polis bagi membanteras semua tempat letak kereta haram di Kuala Kedah dalam tempoh terdekat. Perbuatan mereka menjejaskan imej pelancongan negeri,” katanya.- Berita Harian

No comments:

Post a Comment