My Add

Wednesday 7 December 2011

'Umat Islam usah terlalu taksub'


Jangan samakan kepemimpinan Nik Aziz dengan Nabi Muhammad 
   
KUALA LUMPUR, RABU, 07 Disember, 2011:
MENYAMAKAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat seperti junjungan besar Nabi Muhammad SAW bukan saja boleh menimbulkan kekeliruan umat Islam, malah membawa kepada kekufuran.

Oleh itu, umat Islam diingatkan supaya mengamalkan sikap bersederhana atau wasatiyyah dan tidak terlalu taksub serta fanatik sehingga sanggup meletakkan pemimpin parti politik setaraf dengan Nabi Muhammad SAW.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, berkata sebagai seorang pemimpin politik yang tahu mengenai agama Nik Aziz sepatutnya memperbetulkan perkara itu dan bukan hanya sekadar ‘bermain kata’ bagi mengalih perhatian. 

“Sebab itulah dalam Islam ada satu dasar iaitu wasatiyyah yakni kesederhanaan, dakwaan yang mengatakan Nik Aziz sama seperti Nabi adalah bukti terlalu fanatik ataupun taksub kepada seorang pemimpin sehingga tidak boleh nampak kebenarannya. 

“Beliau (Nik Aziz) sepatutnya bertanggungjawab dan menangani perkara ini, bukannya menggunakan kata-kata yang membawa kepada kesamaran kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan. 

“Nabi bersifat maksum dan berada pada kedudukan tinggi serta tidak boleh disamakan dengan manusia biasa dan ulama hanyalah pewaris kepada ilmu serta peranan nabi dalam menyebarkan syiar Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam, lapor Khairul Anuar Abdul Samad dan Haspaizi Mohd Zain

Sebelum ini satu laman blog mendedahkan rakaman video ceramah yang disampaikan oleh penceramah pro Pas, Shamsul Zaman Sukri atau ‘ustaz budak’ menyamakan Nik Aziz dengan nabi dengan bersandarkan hujah ‘ulama adalah pewaris nabi’ oleh sebuah portal. 

Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas dilaporkan tidak akan sesekali bertanggungjawab terhadap tindakan penceramah berkenaan menyamakannya dengan nabi dan tidak berasa duka cita dengan tindakan penceramah Pas terbabit walaupun ia menyentuh soal akidah. 

Di KOTA BHARU: Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Pas negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap penceramah berkenaan dan mendakwa ustaz budak bukan penceramah rasmi Pas. 

“Saya ingin tegaskan bahawa ustaz budak itu bukan penceramah dari parti (Pas), oleh itu beliau tidak boleh dikatakan mewakili parti dan ia jauh berbeza dengan penceramah rasmi parti kerana sudah diberikan garis panduan apa yang boleh dan tidak dilakukan ketika berceramah. 

“Bagi penceramah bebas, dari segi kawalan terhadapnya, ia adalah di luar bidang kuasa Pas, semuanya itu membabitkan penceramah terbabit dengan penganjur bukannya atas nama parti (Pas),” katanya. BH

No comments:

Post a Comment