My Add

Wednesday 21 December 2011

Usahawan Malaysia perlu terokai pasaran Mesir

RABAT, RABU, 21 Disember, 2011: Produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera dari Malaysia juga perlu mengambil kesempatan untuk meneroka pasaran di Mesir, selepas mencapai kejayaan membanggakan di Maghribi.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia ke Mesir, Ahmad Tarmizi Idris berkata, beliau melihat peluang itu sedia terhidang kerana Mesir sendiri mempunyai 84 juta penduduk yang kebanyakannya beragama Islam.

Lagi pun, katanya, terdapat kira-kira 10,000 orang pelajar dari Malaysia kini menuntut di beberapa universiti di negara berkenaan.

"Setakat ini, belum ada program untuk memperkenalkan produk Malaysia termasuk berasaskan makanan diadakan di Mesir," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui sempena Minggu Karnival 1Malaysia Best yang berlangsung di pasar raya Aswak Assalam di sini.

Menurut Ahmad Tarmizi, pada masa ini, di Mesir, pelbagai produk makanan seperti sos dan mi segera didominasi oleh pengusaha dari Thailand dan Indonesia.

Beliau memberitahu, perubahan budaya kehidupan masyarakat Mesir yang suka makanan dan minuman segera membolehkan pengusaha Malaysia merebut peluang itu dengan memperkenalkan produk mereka ke negara berkenaan.

Katanya, Mesir mempunyai beberapa kelebihan seperti struktur cukai importnya yang lebih rendah berbanding di Maghribi.

"Ini menjadikan harga produk Malaysia menjadi agak kompetitif dengan produk-produk dari negara lain. Dengan harga berpatutan dan kesesuaian sedia ada, produk usahawan bumiputera boleh menembusi pasaran di Mesir," katanya.

Ahmad Tarmizi memberitahu, nilai dagangan Mesir pada tahun lalu berjumlah RM4.7 bilion dengan jumlah eksport mencecah RM4.5 bilion. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment