My Add

Wednesday 21 December 2011

36 produk IKS tempatan di pasar raya Aswak Assalam

RABAT, RABU, 21 Disember, 2011: Pasar raya Aswak Assalam menyatakan persetujuannya untuk menempatkan 36 produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera dari Malaysia di 16 cawangan pasar raya miliknya di seluruh Maghribi.

Ia sekali gus dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap produk usahawan desa terbabit yang dipamerkan sempena Minggu Karnival 1Malaysia Best yang berlangsung di pekarangan pasar raya itu.

Pengerusi Konsortium Usahawan Makanan Industri Asas Tani Sdn. Bhd.(Komita), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad (gambar) berkata, perkara itu dinyatakan oleh pihak pengurusan Aswak Assalam pada hari terakhir karnival tersebut semalam.

Beliau berkata, antara produk itu ialah bunga daun pokok getah, madu tualang, teh misai kucing, biskut, sos serta produk sejuk beku seperti murtabak dan piza.

"Ternyata karnival yang dianjurkan dengan pembiayaan dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mencapai tujuan dan mendapat sambutan daripada kalangan pengguna Maghribi.

"Komita berasa bangga kerana produk usahawan desa kita berjaya berasa di persada dunia dengan saya yakin, ia mampu berada di pasaran yang lebih meluas di rantau Afrika," katanya.

Beliau menjangkakan pesanan pertama kesemua produk tersebut sebanyak satu kontena bernilai kira-kira RM150,000 akan dibuat pada awal tahun depan.

Bagaimanapun, program promosi untuk memperkenalkan lagi produk tersebut perlu terus dipergiatkan supaya permintaan terhadapnya terus meningkat dan dikenali oleh penduduk Maghribi.

"Program-program uji rasa produk IKS desa dari Malaysia perlu diteruskan kerana masih ramai penduduk Maghribi belum mengenali produk kita.

"Penduduk di sini memandang tinggi produk dari Malaysia selain yakin ia halal dimakan dan datang dari sebuah negara Islam," tambahnya.

Ditanya jika ada pengusaha enggan menempatkan produk mereka di pasar raya berkenaan, katanya, Komita tidak boleh memaksa mereka tetapi ia merupakan satu kerugian besar kerana para pengusaha perlu merebut peluang jaringan perniagaan di rantau ini. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment